Pertama adalah Iman

Iman adalah perkara Asas dalam kehidupan Mukmin (Gambar Hiasan)
Iman adalah perkara Asas dalam kehidupan Mukmin (Gambar Hiasan)

Mengapa Iman MESTI menjadi yang pertama? Mengapa ia tidak menjadi yang kedua? Adakah tanpa Iman, maka tiadanya Islam?

Iman bermaksud percaya atau menyakini sesuatu dengan benar melalui hati, lidah dan juga amalan. Ini sangat berharga dalam diri kita, terutama sebagai seorang Muslim. Dan sebab itulah mengapa Allah s.w.t mengarahkan kepada kita untuk masuk Islam dengan Iman;

“Wahai orang yang Beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turuti langkah-langkah Syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Al-Baqarah: 208)

Allah menyeru kepada ‘wahai orang yg beriman’, bukan kepada ‘wahai sekalian manusia’ atau ‘wahai sekalian muslimin’, tetapi ditekankan ‘Wahai Orang yg Beriman’! Kita melihat suasana sekarang yang rata-ratanya sekadar nama Islam atas nama semata, namun ‘Iman’ dalam diri entah ke mana. Ini adalah prestasi Iman yang paling lemah sekali! Maka tidak hairanlah semakin ramai di kalangan orang Islam sendiri tidak teguh pendirian mereka terhadap agama. Rapuh dan Lemah!

Syed Qutb dalam kitab terulungnya, Fi Zilalil Quran menyatakan bahawa Iman adalah Anugerah Teragung daripada Allah kepada hamba-Nya. Tidak dapat dinafikan kenyataan ini apabila kita kembali mengenang peritstiwa keimanan para sahabat r.anhum yang memperoleh hidayah daripada-Nya, kemudian bertarung dan bertahan keimanan mereka daripada diceroboh oleh kaum Kafir Quraisy.

Maka, saranan buat kita yang mengaku sebagai Orang-orang yang Beriman;

1. Sentiasa perbaharui Iman dan Niat kita. Ingat matlamat utama kita diciptakan;

“Tidak Aku ciptakan Jin dan Manusia itu melainkan beribadah kepada-Ku” (Adz-Zaariyat: 56)

2. Tadabbur ayat-ayat Al-Quran yang berkait terus dengan ‘Wahai orang-orang Beriman’. Ayat ini selalunya adalah ciri-ciri yang Allah mahukan daripada seseorang yang mengaku beriman.

3. Genggam dan Istiqomahlah.  Bila kita sudah rasakan Iman di dada, pegang ia dengan utuh, kemudian istiqomah dengan amalan-amalan yang meningkatkan Iman kita.

Allahua’lam.

Mohd Nor Adzim Shaari
Aktivis ISMA Seremban