Surah An-Naba’ ( 1-16 )

Dengan nama Allah yg Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

  1. Mengenai apakah mereka saling Tanya-menanya. ( 2 ) Mengenai berita yg agung. ( 3 ) Yg mereka perselisihkan mengenainya. ( 4 ) Tidak sekali-kali! Mereka bakal mengetahui. ( 5 ) Kemudian tidak sekali-kali! Mereka bakal mengetahui. ( 6 ) Tidakkah kami jadikan bumi itu sebagai hamparan. ( 7 ) Dan gunung-gunung sebagai pasaknya. ( 8 ) Dan Kami(Allah) jadikan kamu berpasang-pasangan. ( 9 ) Dan Kami jadikan tidurmu untuk istirehat. ( 10 ) Dan Kami jadikan malam sebagai pakaian. ( 11 ) Dan Kami jadikan siang untuk mencari sara hidup. ( 12 ) Dan Kami bina di atas kamu tujuh petala(langit) yg kukuh. ( 13 ) Dan Kami jadikan pelita(matahari) yg amat terang. ( 14 ) Dan kami turunkan dari awan air yg banyak tercurah. ( 15 ) Supaya Kami tumbuhkan dengan air itu biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan. ( 16 ) Dan perkebunan berpohon rimbun yg lebat.

Surah An-Naba, berita yg besar. Saya mengutip tafsir ini dari Kitab Tafsir Al-Wadhih, ringkasan dari Kitab Tafsir yg Besar era ini, Fi Zilalil Quran( Di Bawah Naungan Al-Quran ). Kitab ini di karang oleh As-Syahid Syed Qutb. Oleh itu, mari kita ambil mutiara yg terkandung dalam kalamullah ini supaya menjadi peringatan kepada kita sepanjang hayat.

Surah An-Naba’: 1-16

Saya mengambil tafsir secara beransur dan beberapa ayat dari surah ini supaya kita mampu menghayatinya secara seluruh dan terus amalkan dalam kehidupan kita. Keseluruhan ayat ini di tafsir oleh As-Syahid Syed Qutb:-

Surah ini di mulakan dengan satu pertanyaan yg menarik untuk membesar-besarkan persoalan Qiamat yg di pertikaikan mereka (orang kafir). Qiamat adalah satu persoalan yg amat besar dan amat jelas, tiada sebarang kesamaran dan keraguan lagi. Kemudian pertanyaan itu di iringi dengan ancaman Hari Qiamat yg akan mereka ketahui kebenaran hakikatnya.

  1. Mengenai apakah mereka saling Tanya-menanya.
  2. Mengenai berita yg agung.
  3. Yg mereka perselisihkan mengenainya.

Orang musyrik tertanya-tanya sesama mereka tentang hari Kebangkitan. Mereka sibuk memperkatakan dan tidak mempercayainya. Malahan mereka mempersendakan peritiwa hari Kebangkitan. Lalu Allah s.w.t telah menyanggah mereka dengan menggunakan gaya bahasa berbentuk soalan bagi menunjukkan peri penting dan gerunnya perkara yg di persoalkan. Ia juga bertujuan menyatakan bahawa ilmu tentang hari Kebangkitan tidak dapat di capai oleh makhluk.

Perkara apakah yg mereka Tanya Rasulullah s.a.w dan orang mukmin? Adakah mereka saling bertanya mengenai berita yg agung (hari Kebangkitan)? Iaitu perkara yg mereka perselisihkan. Oleh itu, ada kalangan mereka komited bahawa peristiwa tersebut tidak akan berlaku. Mereka berkata :

“Hidup hanyalah hidup kita di dunia. Kita mati dan kita hidup dan kita tidak di bangkitkan.” ( Al-Mukminun:37 ).

Mereka mengingkarinya lantaran mereka mengingkari kewujudan Allah s.w.t…

  1. Tidak sekali-kali! Mereka bakal mengetahui.
  2. Kemudian tidak sekali-kali.

Tidak sekali-kali! Kalimah ini merupakan ungkapan mencegah dan menghalang tindakan mereka saling bertanya dan berselisih mengenai hari Kebangkitan. Sedangkan kewujudan hari Kebangkitan di buktikan melalui pelbagai dalil yg jelas.

“Tidak sekali-kali! Mereka bakal mengetahui. Kemudian tidak sekali-kali! Mereka bakal mengetahui!!” ( Surah An-Naba’:4-5 )

Maksudnya, mereka pasti akan menghentikan tindakan mereka itu. Tidak lama lagi mereka akan mengetahui hakikat sebenar perkara tersebut. Iaitu apabila mereka di timpa azab dan petaka.

Pandangan Penulis:-

Ayat ini memberi gambaran keras dan gerun kepada orang-orang Musyrik yg berselisih fasal hari Kebangkitan tersebut. Betulkah ada hari Kebangkitan? Ayat ini membidas segala persoalan daripada mereka tentang hari Kebangkitan, hari yg menggerunkan! Ia di ulang-ulang bagi menegaskan peristiwa ini akan berlaku dan ilmu akhirat itu hanya milik Allah s.w.t sahaja. Oleh itu, bagi kita yg Mukmin wajib menyakininya, yakin dalam hati serta amalan kita bahawa hari Kebangkitan ini akan tetap berlaku.

  1. Tidakkah kami jadikan bumi itu sebagai hamparan.
  2. Dan gunung-gunung sebagai pasak.

Bukankah Kami (Allah) telah ciptakan bumi sebagai hamparan yg sesuai untuk manusia hidup tenang dan selesa di atasnya? Maksudnya, akui dan iktiraflah bahawa Allah s.w.t telah menciptakan bumi stabil dan terhampar untuk kamu semua. Dia menciptakan gunung-ganang di muka bumi yg bertindak sebagai pasak peneguh bumi. Sepertimana teguhya khemah dengan tiang dan pasak.

Kejadian bumi yg terhampar itu merupakan hakikat yg dapat di lihat oleh semua manusia dalam apa sahaja peringkat kemajuan dan ilmu pengetahuan mereka. Ia tidak memerlukan kepada ilmu yg banyak utntuk memahami hakikat ini dalam bentuknya yg nyata itu. Begitu juga kejadian bukit-bukau dan gunung-ganang sebagai pasak bumi merupakan gejala yg dapat di lihat oleh semua mata manusia walaupun manusia jakun. Dan kejadian-kejadian ini patut mencetuskan kesan dalam hati apabila di pandang dengan jiwa yg insaf.

  1. Dan Kami (Allah) jadikan kamu berpasang-pasangan.
  2. Dan Kami jadikan siang untuk mencari sara hidup.

Sesungguhnya Kami (Allah) telah ciptakan lelaki dan wanita bagi memudahkan mereka berkembang biak dan menyusun urusan kehidupan. Kami (Allah) juga telah ciptakan tidur seperti yg menamatkan keperitan dan keletihan. Oleh itu, tidur adalah salah satu dari dua kematian. Ia merupakan antara nikmat Allah yg besar. Sebab tidur merupakan masa untuk merehatkan tubuh badan, memperbaharui kecergasan dan mengembalikan kekuatan dan keaktifan manusia.

  1. Dan Kami jadikan malam sebagai pakaian.
  2. Dan Kami jadikan siang untuk mencari sara hidup.

Sesungguhnya kami jadikan malam seperti pakaian kerana kegelapannya menutup pandangan manusia. SubhanaAllah ( Maha Suci Allah ), gelap pun ada kebaikan, terang pun ada kebaikan. Kerana dalam kegelapan malam, manusia memperolehi kebaikan dan faedah. Sebagaimana pakaian melindugi manusia daripada cuaca panas dan sejuk serta menutup aurat, begitulah malam mampu melindungi seseorang daripada musuh dan binatang buas. Malam juga menyimpan potensi untuk seseorang bersedia melakukan lonjakan. Boleh jadi malam memberi peluang kepada manusia melaksanakan sebahagian keperluannya.

Di antara pentadbiran Allah s.w.t lagi ialah Dia jadikan harakat alam selaras dengan harakat makhluk hidup. Andainya Allah meletakkan rahsia tidur selepas bekerja dan bergiat, maka Dialah juga yg meletakkan pada alam ini hari malam sebagai tabir yg melindungi manusia agar ia dapat tidur dan berehat dengan sempurna, juga meletakkan hari siang pada alam supaya menjadi masa mencari kehidupan, iaitu masa yg penuh dengan kesibukan dan kegiatan. Demikianlah penyelarasan yg di wujud di alam ciptaan Allah s.w.t.

Oleh itu, alam bumi ini merupakan tempat yg sesuai untuk makhluk-makhluk hidup, iaitu alam yg dapat memenuhi segala kehendak sifat yg ada pada mereka, kerana makhluk-makhluk ini di lengkapkan dengan susunan kejadian yg sesuai dari segi harakat dan keperluan-keperluannya dengan segala ciri-ciri dan penyesuaian yg wujud di alam ini. Itulah hasil penciptaan qudrat Allah yg Maha Kreatif dan Maha Pentadbir, iaitu penciptaan yg begitu halus keselarasannya.

Sesungguhnya Kami ciptakan siang sebagai suatu kehidupan. Juga waktu untuk manusia mencari rezeki dan keperluan hidup mereka. Manakala malam waktu tidur dan menenangkan fikiran.

  1. Dan Kami bina di atas kamu tujuh petala (langit) yg kukuh.
  2. Dan Kami jadikan pelita (matahari) yg amat terang.

Sesungguhnya Kami (Allah) telah ciptakan tujuh petala langit yg kukuh dan teratur di atas kamu. Sistemnya tidak lumpuh dan berkecamuk. Binaannya tidak rapuh dan reput. Kami (Allah) ciptakan juga matahari sebagai pelita yg terang benderang, menyinari dan membahang.

  1. Dan Kami turunkan dari awan air yg banyak tercurah.
  2. Supaya Kami tumbuhkan dengan air itu biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan.
  3. Dan perkebunan berpohon rimbun yg lebat.

Kami turunkan hujan lebat daripada awan mendung yg menjadi faktor benih gandum, padi dan lain-lain mengeluarkan hasilnya. Begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan seperti rumput-rampai dan tanaman hidup subur. Ia juga menjadi factor kebun-kebun dan taman-taman di penuhi dengan pokok yg rimbun dan rendang.

Alam buana ini mempunyai Penciptanya, dan di sebalik ala mini pula terdapat tadbir, perencanaan dan penyusunan Ilahi yg rapi. Penjelasan hakikat ini dan pemandangan yg teratur sedemikian rupa dalam ayat-ayat ini, iaitu penciptaan bumi yg terhampar luas, penciptaan gunung-ganang selaku pasak bumi, penciptaan manusia secara berpasang-pasangan, penciptaan tidur sebagai masa kerehatan sehari suntuk bergerak, sedar dan bergiat, penciptaan malam sebagai kain tabir untuk berlindung dan bersembunyi diri. Penciptaan siang sebagai masa untuk sedar dan bergiat, kemudian pembinaan tujuh petala langit yg kukuh, penciptaan matahari sebagai lampu yg amat terang, penurunan air hujan yg lebat dari awan pemerah untuk menumbuhkan biji-bijiaa, tumbuh-tumbuhan dan kebun-kebun.

Semua penjelasan yg teratur ini membayangkan adanya perencanaan dan penyelarasan yg amat halus, adanya tabir dan perencanaan Ilahi yg amat rapid an wujudnya Allah Pencipta yg Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa, di samping menyentuh hati kita dengan sentuhan-sentuhan yg menyedarkan kita terhadap adanya tujuan dan matlamat ( di sebalik hidup ini ). Di sinilah bertemunya penerangan ayat dengan tajuk berita Kebangkitan atau Qiamat yg amat besar yg di pertikaikan mereka(musyrik).

Bahan Rujukan:-

  1. Al-Quran.
  2. Tafsir Al-Wadhih.
  3. Tafsir Fi Zilalil Quran. ( Di Bawah Naungan Al-quran )

2 thoughts on “Surah An-Naba’ ( 1-16 )

Tinggalkan komen