Apa Erti Saya Menganut Islam (Bahagian 5)

” Saya mestilah mengimani dan meyakini bahawa syurga adalah balasan dan ganjaran bagi mukmin yang taat. Neraka pula adalah balasan dan ganjaran siksaan bagi orang-orang kafir”.

Pilih yang mana?

Alhamdulillah, syukur tidak terhingga kepada Allah s.w.t kerana masih memberi ruang dan waktu untuk saya menyambung perbincangan kita dalam siri Apa Erti Saya Menganut Islam ini. Sesunggunnya tidak dapat dibandingkan kekuasaan-Nya dengan kekuasaan yang ada pada manusia, kerana Dia lah mencipta kita dari ‘air yang kotor’. Selawat dan salam ke atas junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w, teladan kita sepanjang zaman dalam semua perkara di atas muka bumi ini. Salam juga kepada ahli keluarga baginda s.a.w, sahabat r.anhum yang tidak pernah luntur semangat mereka untuk menyebarkan Islam ini di seluruh pelosok dunia, tabi’in dan tabi’ tabi’in yang kekal segar dalam ingatan ummah Islam hari ini.

Saudara sekalian,

Menjadi lumrah dalam kehidupan kita akan ada yang baik dan akan ada yang buruknya. Sama seperti dengan golongan manusia di muka bumi ini. Ada yang baik, ada yang jahat. Tidaklah mencabar kehidupan ini sekiranya yang ada di atas muka bumi hanyalah golongan yang baik sahaja atau di atas muka bumi hanya golongan perosak serta jahat di muka bumi ini. Pastilah kehidupan di dunia yang isinya orang baik sahaja, akan aman dunia ini manakala di dunia yang isinya orang jahat sahaja, sudah pasti rosak binasa dunia itu. Maka, Allah s.w.t menciptakan syurga dan neraka. Mengapa? Semua ini hanyalah ujian keimanan kita kepada Allah s.w.t semata-mata. Inilah tanda kekuasaan-Nya kepada kita, yang tidak dapat tidak, kita sahaja yang mampu membuat keputusan untuk diri kita sendiri.

Menjadi lumrah dan kepercayaan kita yang utama, seperti yang telah di tulis oleh Al-Fadhil Ustaz Fathi Yakan, bahawa kita mesti mempercayai kewujudan syurga dan neraka. Paling penting untuk kita faham ialah syurga untuk orang yang beriman manakala neraka untuk orang kafir. Maka pilihan di tangan anda. Sebagai seorang Mukmin dan orang yang mengucapkan syahadah atas keimanan yang jitu, maka sudah pasti kita inginkan syurga sebagai ganjaran dan hadiah utama apabila kita kembali kepada-Nya nanti. Sebagai seorang Mukmin juga, kita menjadikan neraka itu sebagai satu ancaman kepada kita, satu amaran daripada Allah kepada kita sekiranya kita melakukan perkara mungkar dan tidak mendapat ampun-Nya, kita akan dihumban ke dalam sana!

” Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka. ” ( Asy-Syuura: 7 ).

Sangat ringkas dan padat isinya. Siapa yang masuk syurga? Siapa yang masuk neraka? Walaupun ayat Al-Quran di atas begitu umum, namun Al-Fadhil Ustaz memberi gambaran kepada kita bahawa sudah tentu mereka yang sentiasa beramal soleh dan memohon ampun kepada-Nya, akan dimasukkan ke dalam syurga. Inilah hadiah, inilah anugerah yang tidak terhingga kepada orang-orang yang beriman di atas muka bumi. Walaupun di sogok dengan ‘syurga dunia’, namun hati mereka akan tetap mengharapkan balasan syurga yang pasti adalah anugerah buat selama-lamanya berbanding ‘syurga dunia’ tadi yang hanya buat sementara.

Manakala bagi penghuni neraka, sudah pasti mereka yang berlawanan dengan mereka yang masuk ke syurga. Calon-calonnya merupakan mereka yang sentiasa mengingkari segala bukti keesaan Allah, meninggalkan segala suruhan-Nya dan dengan gembira hatinya melakukan kemungkaran di atas muka bumi ini. Golongan inilah akan dihumban serta dicampak ke dalam neraka, dengan para malaikat yang bermuka masam, tiada langsung senyuman pada malaikat itu kerana malaikat itu tahu bahawa inilah golongan yang paling dimurkai Allah, di dunia dan di akhirat! Maka layaklah mereka ini semua meneriman layanan seperti ini. Na’uzubillahi min zalik..

Oleh itu, sebagai seorang Mukmin yang tersedar atas peringatan ini, bersegeralah mengerjakan kebaikan. Bersegeralah menuntut ilmu agama daripada para ulama’. Bersegeralah memberi peringatan bersama-sama dengan Mukmin yang lain, agar diri kita dan orang-orang Mukmin yang lain sentiasa bercambah keimanan mereka kepada kekuasaan Allah s.w.t, yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Rujukan:-

1. Al-Quran dan Terjemahan.

2. Al-Fadhil Ustaz Fathi Yakan. 2000. Maza ya’ni Li intima’il Islam (Apa Erti Saya Menganut Islam). Pustaka Salam Sdn. Bhd.

MOHD NOR ADZIM BIN SHAARI

MAHASISWA TAHUN TIGA

FAKULTI EKONOMI DAN MUAMALAT

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)

2 thoughts on “Apa Erti Saya Menganut Islam (Bahagian 5)

  1. Syurga adalah anugerah Allah untuk hamba2NYA manakala neraka pula adalah keadilan Allah tetapkan untuk manusia atas perbuatan mereka…semoga kita semua dalam keberkatan Allah..insyaAllah..=)

    P/S : Teruskan berjuang untuk TINTAmu Azim, jadilah pejuang seperti
    Assyahid Qutb yg meneruskan tinta2nya hingga ke hujung nyawa…

    1. Terima kasih saudari maryam,

      Ya, Allah itu Maha Adil dan Dia menguasai segala-galanya. Kita sebagai hamba-Nya, perlulah menambah ketaatan kita kepada-Nya.

      Terima kasih sekali lagi atas sokongan anda, saya akan cuba sehabis baik sy..

      -adzim shaari-

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s