Apa Erti Saya Menganut Islam (Bahagian 6)

Pilihan di Tangan anda!

“Saya mestilah mengimani dan meyakini bahawa manusia itu dapat dan boleh mencapai kebaikan dan kejahatan melalui daya usaha, ikhtiar dan kehendaknya. Tetapi sungguhpun demikian pada hakikatnya saya tidaklah dapat mencapai kebaikan kecuali dengan taufik serta pertolongan Allah. Begitu juga saya tidak akan terjerumus ke dalam kejahatan kecuali dengan kehendak Allah. Semua ini adalah dalam lingkungan izin dan kehendak Allah”.

Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga kepada Allah s.w.r, empunya dunia ini, tuhan yang satu dan satu-satunya yang layak disembah-tiada tuhan selain Allah- oleh kita sebagai hamba-Nya di dunia ini. Walaupun kita dihimpit dengan kesibukan dunia sekalipun, luangkanlah masa untuk mengingatinya kerana Dia lah yang menguasai segala-galanya di dunia ini. Selawat dan salam ke atas junjugan besar kita, tauladan yang cukup sempurna, Nabi Muhammad s.a.w yang telah meninggalkan pelbagai petunjuk bagi kita ikuti. Sesungguhnya tiada insan yang lebih sempurna melainkan baginda s.a.w. Tidak lupa juga ucapan salam ke atas keluarga baginda s.a.w, sahabat r.anhum yang tidak pernah jemu membantu baginda rasul s.a.w dan para tabi’in serta tabi’ tabi’in yang masih menjadi contoh sepanjang zaman oleh ummah Islam di seluruh dunia.

Saudara sekalian,

Sekali lagi kita dapat bertemu dalam perbincangan kita mengenai sebuah tajuk buku iaitu Apa Erti Saya Menganut Islam yang dikarang oleh Al-Fadhil Ustaz Fathi Yakan. Setelah kita memenuhi dada kita dengan ilmu dari siri-siri yang lalu, mari kita terus meningkatkan keimanan dan keyakinan kita terhadap agama kita ini. Seperti mana tulisan Al-Fadhil di atas, kita seharusnya mempercayai bahawa hanya dengan usaha daripada diri kita sendiri yang mampu mengarah kehidupan kita ke jalan kebaikan mahupun kejahatan. Ya, hanya dengan kesungguhan daripada diri kita! Akan tetapi, kita juga perlu meyakini bahawa hakikat untuk memperoleh kebaikan itu hanyalah hak mutlak daripada Allah sahaja. Hidayah dan taufik daripada Allah sahaja yang mampu menolong kita, bukan makhluk lain. Sama juga dengan kejahatan. Kita hanya akan terjerumus ke dalam lembah kesesatan dan kejahatan hanyalah dengan izin Allah.

“Barangsiapa berbuat sesuai dengan petunjuk (Allah), maka sesungguhnya itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa tersesat maka sesungguhnya (kerugian) itu bagi dirinya sendiri. Dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, tetapi kami tidak akan menyiksa sebelum kami mengutus seorang rasul.” ( Al-Israa’: 15 ).

Ayat di atas telah menjelaskan kepada kita bahawa segala kabaikan dan kejahatan itu hanya akan datang daripada usaha diri sendiri. Kerana apa? Ganjaran kebaikan dan balasan kejahatan itu hanya akan dikenakan kepada empunya badan sendiri, bukan orang lain. Penjelasan ini seharusnya menyedarkan tanggungjawab diri kita untuk memberi hak yang sebaiknya ke atas diri kita. Pilihan di atas tangan kita. Sekiranya kita berusaha untuk ke arah kabaikan, maka berdoalah untuk memperolehi taufik dan hidayah daripada Allah dan pasti kita memperoleh keselamatan ke atas diri kita. Namun, sekiranya kita memilih jalan kejahatan untuk diri kita, sudah pasti kerugian yang akan menimpa diri kita.

Hal ini telah dijelaskan dalam siri-5 perbincangan kita yang mana ganjaran syurga itu hanya layak kepada mereka yang memilih jalan kebaikan untuk dirinya manakala balasan neraka itu hanya layak kepada mereka yang memilih jalan kejahatan dalam kehidupannya. Inilah penjelasan yang mudah untuk difahami. Siapa memilih kebaikan, syurga menantinya. Siapa memilih kejahatan, neraka menunggunya. Namun, semua ini perlukan usaha daripada diri kita sendiri bukan orang lain. Perkara lain seperti Al-Quran, Hadith baginda s.a.w, Ulama’-ulama’, bahan bacaan, media, rakan-rakan dan yang seangkatan dengannya, hanyalah sebagai medium bagi kita untuk terus menuntut kebenaran atau kesesatan. Semuanya terletak atas diri kita.

“Dan jiwa serta penyempurnaannya (penciptaannya) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkannya.” ( Asy-Syams: 7-10 ).

Oleh itu, segala kebaikan kita boleh berusaha dengan diri kita sendiri dan kejahatan itu juga boleh dicapai dengan usaha daripada diri sendiri. Tiada sebab untuk kita menyalahkan orang lain sekiranya kita memilih jalan yang salah. Maka, usahalah segala usahamu untuk kebaikan, tiada ruginya anda memilih jalan kebaikan ini malah, akan memperoleh ganjaran yang tidak terhingga daripada Allah.

Teruskan ke arah kebaikan!

Rujukan:-

1. Al-Quran dan Terjemahan.

2. Al-Fadhil Ustaz Fathi Yakan. Maza ya’ni li intima’il Islam (Apa Erti Saya Menganut Islam). Pustaka Salam Sdn. Bhd.

MOHD NOR ADZIM BIN SHAARI

MAHASISWA TAHUN TIGA

FAKULTI EKONOMI DAN MUAMALAT

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)



Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s