Di manakah kita?

 

Di manakah kita?

 

Anda tahu di manakah anda sekarang? Dalam minda anda sekarang sudah pasti anda menyatakan bahawa ‘aku sekarang dalam pejabat’ atau pun ‘aku sekarang di CC’. Mungkin ada di antara kita masih tertanya-tanya di manakah dirinya. Saya cuba mengetengahkan beberapa persoalan dalam tajuk di atas, pertama- posisi kita sebagai bangsa Melayu Islam sekarang? dan kedua- adakah kita punya harapan untuk menjadi bangsa terhebat pada masa akan datang?

Semua persoalan di atas anda akan jumpa jawapannya sekiranya anda memerhatikan situasi yang berlaku sekarang. Pada dua minggu yang lepas, saya dan lapan orang rakan lain dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mewakili universiti ke Kuiz Pelaburan anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB). Terdapat lebih kurang 29 buah universiti yang terdiri dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) yang menyertai pertandingan tersebut, serta lebih kurang 72 buah pasukan yang telah mewakili universiti masing-masing. Tujuan pertandingan ini ialah ingin menguji sejauh manakah pengetahuan pelaburan di kalangan para pelajar universiti. Hanya 4 buah pasukan sahaja yang akan terpilih masuk ke peringkat akhir. Apa yang menarik, hadiah yang akan diberikan kepada pemenang ialah RM 5000 untuk universiti dan unit-unit Amanah Saham Gemilang (Pendidikan) bernilai RM 1000 untuk setiap peserta beserta Piala Pusingan dan Piala iringan. Menarik bukan?

Namun, apa yang menyedihkan saya dan saya terpanggil untuk menulis keadaan ini ialah keempat-empat buah pasukan yang menempah tiket ke pertandingan akhir semuanya berbangsa Cina. Tiada seorang wakil Melayu kita di atas pentas. Sebelum itu, saya menegaskan kepada pembaca-pembaca sekalian bahawa saya bukan seorang ‘racist‘ atau perkauman. Apa yang saya tulis ini adalah dengan niat untuk menyedarkan diri dan bangsa saya, bangsa yang saya cintai! Sekalung Tahniah kepada Universiti Sains Malaysia (USM) kerana menjuarai Kuiz Pelaburan PNB 2010. Maka, dimanakah kita? Sudah tentu kita berada di bawah menjadi penonton kepada mereka yang berjaya masuk ke peringkat akhir. Jujur saya katakan kepada anda semua, bahawa saya dan rakan-rakan hadir tanpa persiapan yang penuh dalam menghadapi pertandingan tersebut. Ini bukan salah orang lain, tapi salah sikap kita sendiri. Sikap yang mengambil mudah terhadap sesuatu perkara. Bagaimana ciri-ciri mereka yang menjadi johan pertandingan ini? Saya mendapat khabar daripada salah seorang rakan saya yang sebilik dengan salah seorang peserta finalis pertandingan tersebut ialah mereka membawa sejumlah buku yang tebal berkaitan kewangan dan pelaburan bagi mengulang kaji. Sebelum hadir ke kuiz itu, mereka juga sudah mengadakan latihan intensif dan sesi pemilihan peserta untuk ke pertandingan tersebut. Dari segi persiapan sahaja kita sudah kalah, tewas! Apatah lagi jika hendak dibandingkan jawapan mereka dengan kami. Sudah tentu jauh bezanya.

 

Menjadi inspirasi.

 

Itulah posisi bangsa Melayu Islam sekarang. Sekadar menjadi penonton kepada bangsa lain, dan tidak ada keinginan untuk menjadi ‘player’ di atas pentas realiti sekarang.

 

Masa depan bukan lagi di sini, kita akan mengubahnya!

 

Apakah kita punya harapan untuk menjadi bangsa terhebat pada masa akan datang? Saya katakan ‘Ya, sudah tentu’! Hal ini berdasarkan firman Allah dalam kitab yang mulia;

“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik” ( Ali-‘Imraan: 110 ).

Nah, terjawab bagi kita persoalan kedua. Allah sudah menjanjikan kepada kita bahawa kita adalah umat yang terbaik- selagi mana kita menyeru manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran serta tetap beriman kepada Allah. Inilah formula bagi umat terhebat pada masa lepas dan juga bagi umat yang akan datang. Kita tidak selamanya akan berada di bawah, dan yang di atas tidak akan selamanya di atas. Allah itu Maha Adil. Apa yang pasti, segala yang termaktub dalam Al-Quran bukan sekadar manisan mulut bila membacanya. Akan tetapi ia menjadi terapi dan lakaran peribadi kita di alam realiti. Ya, bangsa Melayu Islam akan menjadi terhebat selagi mana kita utuh memegang aqidah-Nya dan ajaran Rasulullah s.a.w. Sudah tiba masanya buat kita bangkit dari lena yang sangat panjang. Mengerah segala kerat-kerat dalam badan kita untuk memastikan firman Allah s.w.t itu menjadi kenyataan dalam kehidupan kita yang mendatang. Amat rugilah bagi mereka yang tahu, namun tiada perubahan sedikit pun dalam diri mereka. Bermulalah dari kecil-kecilan hingga ia menjadi besar pada masa depan.

Ayuh! Mari kita koreksi diri kita.

 

Sekarang sudah ada sasaran, ayuh laksanakan!

 

MOHD NOR ADZIM BIN SHAARI

MAHASISWA TAHUN EMPAT

FAKULTI EKONOMI DAN MUAMALAT

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s