Bahasa Kita, Kebanggaan Kita

Bahasa Jiwa Bangsa!

Sejauh manakah kita, bangsa Melayu di Malaysia, menggunakan bahasa kita setiap hari? Bulan lalu, iaitu bulan Oktober merupakan bulan Bahasa Kebangsaan 2010. Satu kempen yang mahu menyedarkan kepada kita peri pentingnya bahasa kebangsaan, bahasa kita sendiri dalam kehidupan di Malaysia. Objektif utama saya menulis ini adalah atas dasar kesedaran diri saya sendiri yang mungkin antara golongan yang ‘lemah’ dalam penggunaan bahasa kita ini. Berkecamuk dengan bahasa asing, maka lahirlah di atas mulut-mulut kita bahasa rojak mahupun bahasa pasar bak kata orang sekarang.

Dari pemerhatian kasar saya, penguasaan dan pengunaan bahasa Melayu di kalangan bangsanya sendiri sudah semakin merudum sehingga kerjaan kita sekarang terpaksa mengambil inisiatif peringatan kepada kita dengan bulan Bahasa Kebangsaan ini. Melalui tatacara pendidikan hari ini, yang melebihkan penggunaan bahasa asing dalam pembelajaran di kelas mahupun di kuliah, kesedaran tentang bahasa kita jelas merosot terutama di kalangan kaum muda. Bagi saya, hal ini sangat membimbangkan saya.

Ya, ini bukan sesuatu isu yang besar- seperti isu minyak, isu buang bayi mahupun isu politik sekarang!- namun, bukankah ini bahasa turun temurun kita dahulu, ibu dan bapa mahupun datuk serta nenek menggunakan tiap-tiap hari dalam kehidupan mereka? Sudah malukah untuk menggunakannya? Saya tidak bermaksud untuk kita guna bahasa kita ini mengikut ‘skemanya’, tetapi cukuplah dengan merasa bangga dan cinta dengan bahasa kita sendiri. Apabila kita bercakap dengan bahasa kita sendiri, tiada ada rasa malu untuk berkata-kata.

Cuba anda lihat dan perhatikan bangsa yang maju di sekeliling kita. Jepun, China, Perancis mahupun Amerika Syarikat, semua ini merupakan negara maju dan kuasa besar dunia sekarang. Kita ambil contoh bangsa Jepun di negara ‘Matahari Terbit’, walaupun mereka bersidang di Persidangan Negara-negara Bersatu (PBB), mereka menggunakan bahasa kebangsaan dalam ucapan mereka. Secara kasarnya, bangsa yang maju ini tidak mencelup daripada bangsa lain, tetapi mereka menggunakan acuan mereka sendiri.

Apabila hilang sesuatu bahasa kebangsaan sesebuah negara itu, maka akan runtuh tamadun sesebuah negara itu. – Malik bin Nabi, pemikir Algeria.

Sejarah bangsa kita sebenarya telah menyaksikan kejayaan demi kejayaan telah dicapai sebelum kita merdeka lagi. Kesultanan Melayu Melaka sebagai buktinya. Ketika itu kita terkenal sebagai bangsa yang sangat mahir berdagang serta berniaga. Liha sahaja Bahasa Melayu ketika itu menjadi ‘Lingua Franca’- bahasa utama dalam komunikasi ketika itu- hinggakan bangsa Barat mahupun dari China terpaksa mempelajari Bahasa Melayu sekiranya mereka mahu berdagang di Melaka. Bukan setakat untuk berdagang, malah untuk persinggahan juga mereka perlu belajar Bahasa Melayu.

Suka juga saya tekan di sini bahawa saya tidak menghalang sama sekali usaha anda semua untuk mempelajari bahasa asing ketika ini, kerana mungkin kita sangat memerlukan dalam bidang-bidang yang kita ceburi. Saya juga menulis dalam Bahasa Inggeris. Namun, bukankan menjadi lebih mudah bagi kita untuk memberi kefahaman kepada bangsa kita dengan bahasa kita? Saya bukan puak konservatif yang mahu menentang ke atas penggunaan bahasa asing, khususnya Bahasa Inggeris, tetapi saya hanya mahu bangsa kita, bangsa Melayu Islam, merasa bangga dengan apa yang ada dalam bangsa kita. Rata-rata kita tahu bahawa kebanyakan adat kita, tatasusila kita tidak melanggar syariat Islam.

Ketika saya di bangku sekolah, saya pernah terdengar kenyataan seorang guru yang menyatakan bahawa ‘Awak tidak boleh ke hadapan kalau awak tidak menguasai Bahasa Inggeris dengan baik’. Seawal usia di bangku sekolah lagi, kita telah di gembar-gemburkan dengan kehebatan bahasa asing- bukan bahasa kita!- tiada rasa mulia yang ingin diterapkan kepada anak-anak muda untuk belajar bahasa kita sendiri. Apa yang mengecewakan lagi ialah ada segelintir anak-anak bangsa kita langsung meninggalkan bahasa ibunda ini! Sungguh mendukacitakan.. Di manakah harga diri kita terhadap peradaban bangsa kita?

Sehingga sekarang, saya masih mempelajari Bahasa Melayu walaupun bukan sepenuh masa. Saya tahu, masih banyak kekurangan yang ada dalam penggunaan bahasa Melayu saya. Usaha ini tidak akan putus di tengah jalan kerana saya yakin, satu hari nanti bahasa Ibunda kita ini akan kembali menjadi ‘Lingua Franca’ semula- setaraf dengan bahasa Arab, Mandarin, Inggeris mahupun Perancis. Itulah keyakinan saya.

“Bahasa Jiwa Bangsa”

MOHD NOR ADZIM BIN SHAARI

MAHASISWA TAHUN EMPAT

FAKULTI EKONOMI DAN MUAMALAT

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s