Pesanan daripada seorang Adik…

Nur Bahia Humairah, permata pertama.

Alhamdulillah, syukur tidak terhingga kepada tuan punya alam ini kerana terus memberi kurniaan besar-Nya kepada kita iaitu nikmat Islam dan Iman. Moga kita terus di lembayung-Nya.

Alhamdulillah juga kepada-Nya kerana dengan izin-Nya pada minggu lepas saya telah mendapat anak saudara yang ke-4, Nur Bahia Humairah binti Mohd Nor Hafiz. BarakaAllahufik kepada pasangan Mohd Nor Hafiz Shaari (Alang) dan Jamilah Johny (kak Ipar) atas kurniaan besar ini kepada mereka. Moga dengan lahirnya cahaya mata ini akan menghangatkan kasih sayang dalam keluarga nanti.

Sebagai seorang adik yang paling kecil dan tak cukup pengalaman ini, amat tergerak ingin melihat anak saudaranya menjadi sebaik nama yang diberi oleh ibu dan ayahnya..sebagai pesanan daripada seorang adik..:-

  • Ketahuilah, didiklah anak dengan didikan Islam yang Tulen dan Syumul kerana itulah amanah yang besar sebagai seorang bapa dan ayah. Nabi s.a.w ada berpesan bahawa ibu bapa lah yang akan menjadikan anak-anaknya di kalangan Yahudi, Nasrani mahupun sebagai seorang Muslim.
  • Sifat kasih dan sayang adalah sifat yang paling utama dalam mendidik anak-anak. Bukan memanjakan, akan tetapi membelai mereka sebagai seorang anak dan setiap insan yang dilahirkan di dunia amat-amat berhak memperoleh kasih sayang daripada seorang ibu bapanya sendiri.
  • Alunkan bacaan Al-Quran kepada anak setiap hari. Biasakan dengan amalan-amalan tilawah al-Quran hampir dengan anak agar anak ini telah dibiasakan dengan mendengar ayat-ayat suci yang datangnya daripada Allah s.w.t. InshaAllah, hati bayi terjaga dan disucikan.
  • Berikan makanan terbaik buat anak. Al-Quran telah mengajar kita bahawa susu ibu untuk anak dua tahun pertama adalah makanan asasi terbaik buat anak. Jika menghadapi masalah, kuatkan usaha untuk elakkan daripada memberi makan kepada anak dengan makanan-makanan yang punyai bahan tidak halal. Pastikan halal sebelum diberi kepada anak.
  • Akhirnya, pengorbanan daripada ibu bapa adalah sangat-sangat diperlukan dalam mendidik anak. Ingatlah! Pengorbanan ini tidak sekali-kali akan mensia-siakan hidup sebagai ibu bapa, bahkan akan menguntungkan kelak buat kita di hari tua.

Walaupun saya seorang adik dan belum berkeluarga, tapi semua di atas hanyalah pesanan daripada seorang adik yang sangat-sangat mengharapkan anak saudaranya mampu menjadi harapan buat keluarga. Apatah lagi, ia akan lebih beerti apabila ibu dan bapa tadi berjaya mendidik anaknya hingga menjadi harapan Ummah. Letaklah visi dan misi yang besar buat anak kerana tindakan ini tidak sekali-kali mensia-siakan kehidupan ibu dan bapa, bahkan percayalah ia akan menguntungkan. Mulalah daripada didikan keluarga untuk melihat anak berjaya kelak dan berjasa buat keluarga, masyarakat, bangsa dan agama.

Terus Maju abangku dan kakak ku, Mohd Nor Hafiz Shaari & Jamilah Johny

Advertisements