“Terima Kasih ya…”

Semenjak saya berpraktikal di Pusat Rawatan Islam Azzahrah (A.Z.I.M), saya telah mendekati mereka yang berkhidmat dalam medan perubatan. Melihat susah senang ‘mereka’, apatah lagi ‘mereka’ berhadapan dalam menentukan nyawa seseorang itu! “Huh! Pasti sukar bukan?”.

Perkhidmatan yang ‘mereka’ berikan mestilah yang terbaik buat ‘pelanggan’. Jika tidak, sedikit kesilapan pasti mengundang bahaya. Kerja ‘mereka’ mungkin dipandang kecil oleh sebahagian daripada kita. Namun, bagi saya, jika tiadanya mereka Doktor juga sukar untuk melakukan rawatan. Ya! Doktor pun belum pasti mampu menyelesaikan rawatan ke atas ‘pelanggan’ tadi jika ‘mereka’ ini tiada di sisi Doktor. Pelik bukan.

Bukan bermakna Doktor itu tidak tahu melakukan rawatan, namun tidak kira hebat mana pun seseorang itu dalam sesuatu bidang, pasti dia memerlukan bantuan di sisi. Lihat sahaja sirah Nabi s.a.w yang telah mengajar kita.. Dakwah Nabi s.a.w tetap berkembang di Makkah al-Mukarramah walaupun didesak, diboikot, ditentang habis-habisan oleh penduduk musyrikin Makkah. Kenapa ya? Sudah tentu Nabi s.a.w punyai bantuan di sisinya seperti Khadijah r.anha (isteri baginda s.a.w), Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman b. Affan serta ramai lagi sahabat awallin yang menggerakkan dakwah Nabi s.a.w ini.

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) penolong bagi sebahagian yang lain… (At-Taubah: 71)

Apa yang membezakan hanyalah medan mereka. ‘Mereka’ yang bersama dengan Doktor ini, tidak leka dalam memberi bantuan kepada Doktor, membuat persiapan buat Doktor untuk menjalankan pembedahan, menjaga ‘pelanggan’ dalam keadaan terbaik, tidak terbit sedikit pun dalam hati ‘mereka’ untuk melakukan kesilapan..kerana mereka tahu, jika adanya kesilapan, maka boleh jadi ‘pelanggan’ mereka juga dalam bahaya. ‘Mereka’ tidak seperti penjual di kedai runcit. Jika ada barang yang dibeli oleh ‘pelanggan’ mereka rosak atau keadaan tidak baik, mereka hanya boleh gantikan sahaja. Namun, tidak bagi ‘mereka’. Fokus dan perhatian yang teliti diperlukan sentiasa oleh ‘mereka’ pabila berhadapan dengan ‘pelanggan’ mereka.

Walaupun begitu, ‘mereka’ tetap manusia seperti kita semua. Ada kelemahan, ada kekurangan dan juga ‘mereka’ ada perasaan sama seperti kita. Tak jauh beza pun dengan kita ini. Namun sayang, masih ada segelintir daripada kita yang menganggap ‘mereka’ ini umpama Robot yang tidak pernah melakukan kesilapan. Apatalah lagi terkadang kita tak terucap pun ucapan ‘Terima Kasih ya kerana…’. Terasa berat bagi kita. Jika kita sendiri pun dah rasa berat nak ucapkan, bagaimana perasaan mereka? Bersusah payah untuk memberikan yang terbaik buat kita dan memastikan kita sembuh semula. Adakah kita manusia yang tidak reti berterima kasih?

Maka setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari karunia-Nya, mereka kikir dengan karunia itu, dan berpaling, dan mereka memanglah orang-orang yang selalu membelakangi kebenaran (At-Taubah: 76)

Maka ucaplah…

  • “Terima kasih ya kerana jaga pak cik hingga sembuh ya nak”
  • “Terima kasih ya kerana jaga saya dan baby sehingga keluar dari Wad”
  • “Terima kasih ya kerana memastikan anak saya sembuh semula”
  • “Terima kasih ya kerana menjaga suami saya”
  • dan ucapalah “Terima Kasih” itu…
Terima Kasih ya

Selamat Hari Jururawat, 12 May 2011. Jasamu sentiasa dikenang oleh kami 🙂

MOHD NOR ADZIM BIN SHAARI
MAHASISWA TAHUN EMPAT
FAKULTI EKONOMI DAN MUAMALAT
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)
 
Advertisements

A.Z.I.M (Bahagian 1)

Sedar tak sedar saya sudah 4 bulan berada di sini. Di mana? Di A.Z.I.M la..hehe. Mungkin ada yang tertanya kepada saya apa yang istimewa nama A.Z.I.M ini. “Bukan itu nama kau ke?”. Betul, tapi ada keistimewaan lagi selain nama saya sendiri. Azzahrah Islamic Medical Centre atau nama singkatannya juga A.Z.I.M. Saya awal-awal juga terkejut. Tak sangka tempat saya berpraktikal ini ada sinonim dengan saya. Huh, perasaan bangga pun ada pada mulanya. “Popular jugak nama aku nie” riang hati saya berkata.

Pusat Rawatan Islam Azzahrah

Namun, apa yang istimewa sekarang buat saya adalah saya berkhidmat di tempat ini. Saya yakin tempat ini akan memberi 1001 pengalaman, kenangan, pelajaran buat saya semasa tempoh praktikal yang diberikan buat saya.

Pertamanya, sudah tentu anda tertanya dengan saya mengapa pergi buat praktikal di medan perubatan yang amat jauh sekali dari medan perbankan dan kewangan Islam? Continue reading “A.Z.I.M (Bahagian 1)”

Ayuh! Bersama kita ‘tentang’!

Saya tergamam sebentar apabila melihat poster di atas dalam blog Ustaz Fauzi Asmuni dan Ustaz Abd. Halim. Betulkah? Seakan-akan filem “School of Rock” yang pernah popular sebelum ini. Methodnya sama, pelajar sekolah. Apakah kita tidak punyai method yang lebih sesuai untuk anak-anak di sekolah lagi? Apatah lagi program ini di ‘support’ sendiri oleh Kementerian Pelajaran Malayia (KPM)..sudah hilangkah jati diri anak bangsa kita yang dikenali dengan keutuhan adat dan agama?

Kita sudah hilang dasar pandang ke timur yang pernah dilaungkan oleh bekas Perdana Menteri kita dahulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kita lebih memandang ke barat kerana beranggapan bahawa kemajuan dan budaya barat lebih hebat dari budaya kita. Lebih menyedihkan kita apabila penguasa yang kita amanahkan dengan tanggungjawab untuk menjaga dan memelihara anak bangsa kita telah menaja ‘serangan’ ini! Apakah sudah tiada program pendidikan dalam modul mereka? Atau mereka sudah ketandusan idea? Atau juga mereka merasakan bahawa hiburan mampu memberi manfaat kepada diri anak bangsa kita?

Saya bukan membawa penentangan terbuka kepada penguasa kita mahupun mahu menjatuhkan mereka, namun sebagai anak bangsa ini saya rasakan diri ini sayu melihat telatah anak-anak kita sekarang. Baru-baru ini, saya melayar YouTube untuk mencari video lagu dan saya terkejut dengan penemuan saya. Anda pernah dengar American Idol? Sudah tentu pernah! Saya dapati ada antara mereka yang baru berusia 15 tahun sudah teruja atau telah menetapkan matlamat mereka ingin menjadi artis pada usia yang muda! Apatah lagi hampir 40 juta orang rakyat Amerika Syarikat menonton dan menyokong program realiti ini! Jumlahnya dua kali ganda daripada rakyat di negara kita!!

Sekali lagi, saya bukan berniat menjatuhkan siapa-siapa. Saya pernah menonton filem “School of Rock” dan saya akui kagum dengan filem tersebut. Kerana apa? Pertamanya, sasaran mereka adalah pelajar sekolah dan kedua, keazaman dalam mendidik mereka dengan semangat ‘Rock’. Dua perkara saya bayangkan dalam bentuk Islamik. Pertama- mulakan didikan Islam itu kepada anak-anak pada usia yang muda. Bak kata pepatah “Melentur Buluh biarlah dari Rebungnya”. Kedua- tanamkan azam setinggi yang boleh dalam mendidik anak ini. Jangan putus asa jika pada peringkat awal mereka tidak boleh menerimanya. Apa yang pasti hati yang sering menerima sesuatu, akhirnya akan menerima jua. Jika anda lihat filem ini, anda akan fahami.

Ya, jika anda lihat pada permulaan filem ini, mereka tertanya-tanya dengan ‘pelajaran’ baru dibawa oleh ‘guru’ mereka, dan ada juga yang meragui serta menentang. Namun, akhirnya semua menerima hingga sanggup mengabaikan perintah pengetua kerana yakin dengan ajaran ‘guru’nya tadi. Sama juga seperti didikan Islam. Awal-awal pasti mereka tertanya-tanya dan adakalanya mereka menentang kerana tidak sesuai dengan diri mereka. Konsisten dalam pendidikan Islam ini akan membawa anak kita faham initipati Agama hingga sanggup berkorban kerana Allah s.w.t! Cuba fikirkan sirah sahabat, adakah Ali bin Abi Talib r.a terus berjihad kerana Allah? Tidak! Baginda s.a.w telah memulakan didikan kepadanya seawal usia yang muda dengan kisah Ali r.a menggantikan baginda s.a.w sewaktu penghijrahan Nabi Muhamad s.a.w.

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka… (Al-Baqarah: 120)

Demikianlah mereka. Selagi mana kita terus menerima dan mengalu-alukan idea mereka dalam mendidik anak-anak kita, selagi itu mereka terus menyerang. Jika tiada usaha untuk membetulkan penguasa dimulakan dari sekarang, lambat laun kita akan lihat generasi muda kita yang hedonistik serta tidak punyai agenda dalam kehidupan mereka. Kepada mereka yang ber’kuasa’, hayatilah dan fahamilah situasi anak bangsamu. Jika engkau berkemampuan, maka ubahlah sebelum terlambat. Jika tidak, hanya engkau dan Allah sahaja urusannya. Manakala bagi kita, teruskan usaha kita dalam mendidik anak bangsa kita dengan pendidikan Islam. Bukan setakat teori semata, akan tetapi realiti di depan mata anak bangsa kita.

MOHD NOR ADZIM BIN SHAARI
MAHASISWA TAHUN EMPAT
FAKULTI EKONOMI DAN MUAMALAT
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)

Catatan 2: Kembali Bercinta!

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah..segala puji hanya bagi Allah s.w.t, tuhan semesta Alam. Setelah menyepi selama hampir 3 tahun daripada hidupku, ‘engkau’ kembali mencurahkan bakti serta cinta untukku. Ku sangkakan ‘engkau’ tidak dapat kembali lagi, namun kuasa Allah itu maha besar dan maha luas..bermula daripada niatku untuk cuba merapati kembali ‘engkau’ hingga semalam, 3 Mei 2011, akhirnya ‘engkau’ masih setia untuk diriku. Sungguh ku tak sangka…

Dulu, ‘engkau’ ku bawa ke mari, sana sini ku berjalan bersama dengan ‘engkau’. Namun, selepas ‘engkau’ merajuk denganku, ku sudah tawar dengan ‘engkau’. Adakalanya terasa geram kepada ‘engkau’ kerana sering saja ‘engkau’ buat hal kepadaku..sehinggakan aku mengganasi ‘engkau’. Sedangkan seawal pertemuan kita pada tahun 2006, ‘engkau’ sudah mula rapat denganku tanpa ragu-ragu..dan aku sudah jatuh cinta dengan ‘kau’. Hinggakan ku rasa bahawa ‘engkau’ sudah ditakdirkan bersamaku selamanya.. ‘Kau’ adalah nyawaku!

Akan tetapi, setelah aku mula memasukkan berbagai ‘isi’ untuk ‘kau’, tika itu mula ‘engkau’ memberontak atas diriku ini. Adakalanya engkau ‘OK’ dan adakalanya ‘engkau’ bagai bangkai tidak berguna bagiku. Berbagai cara aku cuba lakukan agar cinta ‘engkau’ kembali segar ke atas diriku. Aku isikan dengan ‘trend’ terkini..aku ‘up-to-date’ ‘kau’ agar tidak ketinggalan sepertimana rakan-rakan ‘kau’ di luar sana..bahkan, aku cuba jadikan ‘kau’ teman terbaikku ketika aku merantau bersama’mu’..

Namun, setelah aku berjumpa dengan yang lebih ‘cantik’ dan ‘up-to-date’, nyatalah aku mula memeinggirkan ‘mu’. Aku sudah mula terpikat dengan yang lebih ‘cantik’ daripada ‘kau’..bahkan aku sudah tidak mengambil peduli tentang’mu’! Pada saat-saat itu, ‘engkau’ telah membayangkan buat diriku bahawa ‘kau’ tidak punyai teman lagi. ‘Engkau’ tahu bahawa dirimu sudah ketinggalan jauh daripada ‘rakan-rakanmu’ ketika zaman ini. ‘Engkau’ merendah diri hingga beranggapan bahawa ‘engkau’ tidak berguna lagi buatku..sedangkan dalam benakku, ku mula merinduimu…

Ya, aku merinduimu..bagai Pungguk rindukan Bulan. Walaupun aku terus leka dengan ‘teman’ku yang baru, dalam diam aku terus mencari jalan untuk menanam kembali cintaku kepada mu. Nyata, usaha ku tidak sia-sia selama ini. Setelah 3 tahun ‘engkau’ ku simpan jauh dari hatiku, kini ‘engkau’ mula menambat semula hatiku ini. Walaupun ‘engkau’ tidak sesempurna dan tidak sehebat dahulu, namun dirimu tidak berputus asa denganku untuk meraih cintaku.. Ya, ‘engkau’ sudah kembali meraihnya…

Ketahuilah, walau diriku ketika ini melebihkan ‘teman’ baruku berbanding ‘engkau’, namun engkau tetap teristimewa bagiku..kerna ‘engkau’ mampu bersamaku tidak kira di mana kita berada, ‘engkau’ akan menghiburkan diriku ketika aku dalam gundah gulana dalam menjalankan tugas luarku..dan ‘engkau’ akan beri terbaik untukku.

Wahai ‘kekasih’ lamaku, ku berjanji akan memanfaatkan ‘mu’ tidak kira di mana jua kita berada..seperti sekarang.. Menyampaikan kisah bahawa ‘barang lama’ jangan dibuang begitu sahaja selagi mana kita tidak mencuba untu meraih ‘cintanya’ semula.

Terima Kasih, ACER ASPIRE 5051! Jasamu tetap dikenang olehku. (2006-hingga sekarang)

'Engkau' yang berjasa

Nota: Cerita di atas dibawa khas untuk anda yang pernah meninggalkan sesuatu ‘barang lama’ dalam hidupnya. Ingatlah! Selagi kita tak tahu ‘barang lama’ itu boleh berfungsi atau tidak, selagi itu kita berhak  mencintainya segenap hati. Aspirasi dari laptop saya yang saya jangkakan tidak boleh digunakan lagi. Namun, selepas menghantarnya kepada salah seorang kenalan saya, saya masih boleh menggunakannya..walau sudah 3 tahun tidak dibuka dan digunakan lagi. Jadi, hargailah segala apa yang diberikan selagi hayat masih ada…

 
MOHD NOR ADZIM BIN SHAARI
MAHASISWA TAHUN EMPAT
FAKULTI EKONOMI DAN MUAMALAT
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)