Rahmat Ujian

Wardina Safiiyah sekeluarga

Pada asalnya, artikel ini ingin ditulis buat mahasiswa dan mahasiswi yang akan berdepan dengan Final Exam sekarang. Namun, hikmah Allah itu lagi luas mengatasi segala-galanya. Moga cerita ini juga memberi Rahmat buat anda. Sedang saya membelek-belek FB saya pagi tadi, saya sempat membaca satu note daripada wanita yang popular dan menjadi inspirasi buat semua Muslimah di Malaysia sekarang. Namanya sudah tentu Wardina Safiiyah.

Terkejut dan terkesima saya. Betulkah? Apabila saya membaca note yang ditulis oleh beliau sendiri, dengan cerita yang begitu menyentuh, serta berita yang keluar dari radio IKIM pagi tadi, membuatkan saya yakin bahawa saudari kita ini telah ditimpa musibah. Namun, hati saya lebih terharu bila membaca tulisan dalam notanya yang begitu menyedarkan kita.

Secara ringkasnya, rumah keluarga Wardina Safiiyah telah dimasuki pencuri pada kesunyian malam. Dalam kejadian tersebut, kak Wardina yang begitu terkejut apabila sedar, diminta untuk menyerahkan segala barang kemas yang ada padanya kepada pencuri tersebut. Apa yang ada pada kak Wardina hanyalah sebuah cincin belah rotan peninggalan neneknya kepada beliau sebagai satu warisan. Cincin yang penuh kenangan.

Mungkin inilah ujian untuk hamba-hambaNya yang beriman. Untuk menguji sejauh manakah iman kita kepada-Nya.

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, ‘Kami telah beriman’, dan mereka tidak diuji?. Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)

Beruntunglah keluarga kak Wardina Safiyyah atas musibah ini yang menguji beliau sekeluarga. Yakinlah bahawa Allah sentiasa bersama akak dan keluarga dalam mengharungi ujian ini. Apa yang pasti dalam tulisan beliau yang begitu menggetarkan jiwa-jiwa kita, di akhir satu perenggan beliau mengatakan bahawa ‘Musibah demi musibah , membuatkan diri lebih dekat dengan Ilahi’. SubhanaAllah, manisnya iman itu.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal, (iaitu) orang-orang yang melaksanakan solah dan yang menginfa’kan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (Al-Anfal: 2-3)

Ketabahan mereka sekeluarga harus dicontohi oleh segenap lapisan masyarakat kita sekarang. Bahawasanya betapa penting pendidikan iman dalam diri setiap individu kita. Lihat contoh jawapan yang dikeluarkan oleh kak Wardina sendiri, semuanya pergantungan total kepada Allah, tiada langsung perasaan dendam dalam ucapannya- tidak seperti kebanyakan masyarakat kita sekarang.

“Siaplah kau nanti bila aku dapat kau!”

“Jahanam punya orang, buat susah orang jer!”

“Argh, habis barang-barang kemas aku dikebas. Mahal pulak tue!”

Bagaimana nak dapat jawapan seperti kak Wardina dan sekeluarga? Sudah tentu dari iman yang begitu mendalam kepada Allah! Dengan belajar ilmu fardhu ain bersama ustaz-ustazah, berbincang dengan para ilmuwan Islam, bertanya bila tidak faham kepada mereka yang ahli, menunaikan solah pada waktunya, membaca dan mentadabbur al-Quran, menghayati sirah Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.anhum, serta banyak lagi cara-cara kita meningkat iman kita.

Semangat tidak putus asa daripada Rahmat Allah begitu tersemat dalam hati kak Wardina. Rasa iman yang manis begitu dirasainya oleh beliau sekeluarga. Seharusnya bagi kita yang muda belia ini perlu ada rasa cemburu dengan beliau. Iman dan Taqwa boleh dikecap oleh kita, jika kita berusaha sungguh-sungguh untuk mendapatkannya.

Moga Allah sentiasa memberi kita peluang untuk mengecap kemanisan Iman.

Keadaan rumah Wardina Safiyyah sekeluarga

(Disertakan pautan ‘notes’ yang ditulis sendiri oleh Wardina Safiyyah)

https://www.facebook.com/note.php?note_id=266430563421046

MOHD NOR ADZIM BIN SHAARI
Pemangku Pengerusi
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
Cawangan Negeri Sembilan
Advertisements

Setahun di A.Z.I.M

Saya (depan) bersama teman-teman ketika Daurah "Kembalikan Kejantanan Lelaki"

Sedar tak sedar, rupanya saya sudah setahun bekerja di A.Z.I.M pada 10 Januari 2012 lepas. Begitu asyik bukan? 🙂

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana terus memberi saya peluang dan ruang untuk berkhidmat demi ummat ini. Terima kasih juga kepada En.Abdul Rahman Mat Dali, Pengarah Urusan A.Z.I.M, En.Zaim Shaari, teman-teman seperjuangan di pejabat- Kak Bashirah, Kak Nora, Kak Khai, Ayu, Kak Liyana, En.Azman, En.Azmi, Nazrul @ Along, Zamri, Fawzie, Arif, En.Mat, En.Kamel dan lain-lain, tak dapat nak nulih atas nie arr..harap tak terkecil hati.

En.Abdul Rahman Mat Dali, terus komited dengan perjuangan

Mereka inilah sentiasa memberi dorongan kepada saya untuk terus maju, terus komited, memahami erti kehidupan kerja, memberi semangat dan tunjuk ajar agar tidak terpesong dari Matlamat sebenar sebagai seorang pekerja A.Z.I.M. Tanpa anda semua, siapalah saya di A.Z.I.M.

Dalam kesempatan ini juga, sebagai manusia biasa yang penuh dengan kesilapan dan tidak terelak dari melakukannya, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekiranya ada perbuatan saya, perkataan saya serta gurauan saya membuatkan anda semua berkecil hati dengan saya. Sesungguhnya kita hanyalah manusia biasa, mustahil terelak dari melakukan kesilapan.

Sepanjang bekerja dengan anda semua, kita mesti bersetuju dengan satu fakta bahawa kita tidak akan berjaya pergi ke mana-mana mahupun untuk mencapai matlamat besar sekalipun sekiranya kita tidak melakukan kerja itu secara bersama-sama (Jamaah). Hal inilah yang disebut dalam firman Allah s.w.t dalam al-kitab:-

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara keduanya bila berlaku perselisihan..” (Al-Hujurat: 10)

Harapan saya tiada yang lain melainkan hanya untuk terus bekhidmat untuk ummat ini, walaupun bukan bersama anda. Setiap daripada kita akan terus diberi peluang untuk bekerja untuk ummat ini walau di mana anda berada sekalipun. Bekerjalah kerana Allah s.w.t, kerana iman kita kepada-Nya, kerana percaya bahawa Islam akan kembali Menang satu hari nanti.

Moga kita terus diberi Hidayah daripada-Nya.

MOHD NOR ADZIM BIN SHAARI
Pegawai Billing
Bahagian Kawalan Kredit
Pusat Rawatan Islam Azzahrah (A.Z.I.M)

Apa Erti Saya Menganut Islam (Bahagian 8)

99 Nama-nama Allah

“Saya mestilah mempelajari dan berusaha untuk mengetahui nama-nama dan sifat-sifat yang layak bagi Allah”

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah kerana masih diberi peluang untuk menghirup nafas segar di atas muka bumi ini. Selawat dan salam buat junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w, tauladan buat kita dalam setiap aspek kehidupan sebagai seorang Muslim. Salam juga buat para sahabat r.anhum, tabi’in, tabi’ tabi’in, para ulama’ serta umat Muslimin dan Muslimat dikasihi Allah sekalian. Moga kita semua sentiasa di bawah lembayung Rahmat dan Inayah-Nya di atas muka bumi ini- Ameen.

Saudara saudari sekalian,

Kita bersambung dalam siri ke-8 Apa Erti Saya Menganut Islam, buku yang dikarang oleh Al-Marhum Al-Fadhil Ustaz Fathi Yakan seorang pendakwah terkenal di era 21 ini. Untuk siri kali ini, al-Fadhil Ustaz menasihatkan kita agar mempelajari dan berusaha untuk mengetahui nama-nama dan sifat-sifat yang layak hanya bagi Allah s.w.t. Sudahkah kita menghafalnya, atau sekurang-kurangnya tahu sedikit sebanyak nama Allah?

Selama ini, kita lebih menghafal nama-nama artis terkenal tanah air, bahkan bukan itu sahaja, kita juga hafal artis itu dari mana, tinggal di mana, makanan kegemaran apa, hobi apa, dah kahwin ke belum, artis nie asyik kontroversi ka, pernah berlakon tak, dan bermacam lagi soalan yang begitu mendalam berkenaan artis tersebut namun kita tetap mampu menjawabnya. Akan tetapi, bagaimana pula dengan Tuhan pencipta kita? Sudahkah kita mengenali-Nya? Pernahkah kita cuba ber’taaruf’ dengan-Nya? Atau sudahkah kita hampir dengan-Nya dalam apa jua keadaan melanda kita?

Abu Hurairah r.anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Allah mempunyai 99 nama, seratus kurang satu, tidak seorang pun yang menghafaznya kecuali beliau akan masuk syurga. Allah itu ganjil (yakni tidak genap) dan Allah menyukai perkara ganjil (tidak genap).” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Tahukah selama ini kita akan 99 nama Allah? Dan tahukah kita bahawa Allah amat menyukai perkara yang ganjil? Ayuh kita kaji sebentar;

  1. Penciptaan langit dan bumi, 7 lapisan petala langit dan 7 lapisan bumi.
  2. Kehamilan ibu, 9 bulan.
  3. Hari, ada 7 hari.
  4. Lailatu Qadr, ulama’ bersepakat mengatakan pada malam-malam ganjil.
  5. Peristiwa Hijrah, Nabi s.a.w berHijrah selepas 13 tahun berdakwah di Makkah..

Dan banyak lagi. Saya yakin kita sama-sama boleh cari dan apa yang penting ialah pemahaman kita dalam siri kali ini.

Kita secara realitinya, tidak ramai yang mengenali Allah secara dekat dengan nama dan sifat-sifatnya. Kita lebih mengenali orang lain dalam dunia ini berbanding Tuan kepada dunia ini. Ambil satu misalan, antara kita dengan Boss kita. Sebagai seorang pekerja bawahannya sudah pasti kita kena taat dan patuh pada segala arahannya. Jika nak naik pangkat atau dipandang oleh Boss kita, sudah tentu kita buat kerja dengan terbaik bukan? Bahkan bukan itu saja, kita akan cuba mengenali Boss kita secara sedikit demi sedikit bagi mengambil hatinya..

Seperti juga kita dengan Allah s.w.t, Tuhan kita. Tuan dunia ini. Bahkan aturan Allah itu lebih besar daripada hubungan pekerja dengan Boss. Cukup sudah kita mengenali Allah dengan sifatnya yang Al-Ghaffar (Maha Pengampun). Bayangkan jika kita dengan Boss, apabila kita lakukan kesalahan sudah pasti kita dipandang ‘lain’ oleh Boss kita. Namun bukan pada Allah. Allah sentiasa memberi ruang dan peluang buat kita untuk terus menerus memohon ampun daripada-Nya. Dia tidak menghukum secepat mungkin berbanding dengan Boss kita. Dia sentiasa mengharapkan diri kita untuk merendahkan diri di hadapan-Nya, memohon ampun daripada-Nya. Ada Boss kita buat begitu? Hanya segelintir sahaja.

Kesimpulannya saudara saudari sekalian, kenalilah Tuhan kita beserta sifat-sifatNya. Jadikan Ma’rifatullah (Kenal Allah) sentiasa berada dalam diri kita. Himpunan nama-nama Allah dan juga saranan daripada Baginda s.a.w tentang nama-nama Allah ini adalah untuk kita hampir kepada-Nya. Mengenali-Nya dengan penuh kasih sayang serta mencontohi seberapa banyak yang boleh akan sifat-sifat Allah ini. Bukankah sifat-sifat Allah itu yang Terbaik boleh kita ikuti?

WaAllahua’lam

Rujukan

1. Al-Marhum Al-Fadhil Ustaz Fathi Yakan. Maza ya’ni li intima’il Islam (Apa Erti Saya Menganut Islam). Pustaka Salam Sdn.Bhd.

MOHD NOR ADZIM BIN SHAARI
Pemangku Pengerusi
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
Cawangan Negeri Sembilan

Angkat Kerusi juga Tarbiah

Gambar Hiasan: Amalan mengangkat kerusi

“Biaq betul? Bukankah Tarbiah tue kena attend Usrah, baca buku sama-sama dan jugak tadabbur al-Quran bersama?”

Begitulah sebahagian besar antara penggerak-penggerak Dakwah kini kata. Tarbiah ditafsirkan pada lingkungan yang amat kecil, skop yang tidak meluas bahkan merendahkan taraf Tarbiah itu sehingga pemahaman Tarbiah itu begitu kecil di mata penggerak-penggerak Dakwah sekarang.

Kata mereka lagi, bila sudah diTarbiah lama, takut lomau pulak nanti. Jadi kita kena keluar pulak, buat ceramah ke, kita tinggalkan sebentar usrah-usrah nie. Satu lagi pemikiran dangkal sebilangan kecil kita. Tarbiah bukan begitu, bahkan lebih besar seperti yang anda sangka kan. Secara umum Tarbiah boleh dimaksudkan dengan perkataan pendidikan dalam Bahasa Melayu kita. Mendidik, sejak kecil lagi kita menyedari bahawa ia penting dalam membangun jati diri anak bangsa kita.

Apabila dikatakan tentang pendidikan, maka ia mencakupi semua hal bahkan hinggalah kita membuang sampah dengan sendirinya, menyusun kasut dengan rela hati tanpa suruh serta angkat kerusi jugak dianggap Tarbiah. Ya, juga Tarbiah. Saya berpeluang mengangkat kerusi ini sejak saya bersekolah lagi, sejak tingkatan satu lagi. Hurm, ya ketika itu sudah tentu para senior kami akan meminta tolong daripada kami yang junior ini untuk susun kerusi bagi perhimpunan mingguan di sekolah dulu. Tika itu juga ramai di kalangan kawan-kawan saya yang merungut tentang pem’bulia’an ini.

Gambar Hiasan: Kenangan lama ketika tingkatan satu yg kena angkat kerusi oleh para senior kami

“Adus, sikit-sikit form 1, tak boleh ke buat sendiri?”

Pada peringkat awal, saya pun rasa tak puas hati. Namun, apakan daya ketika itu kami ini ‘kecil’, iku saja arahannya. Setelah bertahun berlalu, saya amat mengucapkan terima kasih dengan amalan Angkat Kerusi ini. Sehingga kini saya masih mengangkat kerusi terutama selepas program tamat. Mengapa ya? Sebab utama kerana Allah melihat pada niat kita bukan kepada apa pekerjaan kita itu. Allah s.w.t tidak melihat besar atau kecil amalan kita, tapi Dia melihat hati kita buat kerana apa.

Mengangkat kerusi juga mengajar pelbagai elemen kerjasama dan kekuatan kita. Angkat kerusi sama-sama, susun semula dari bawah ke atas dan kesabaran dalam menyusun kerusi yang banyak terutama beribu-ribu kerusi perlu diangkat semula. Dan sebab itu saya katakan mengangkat kerusi juga adalah Tarbiah. Bahkan bukan sahaja angkat kerusi, termasuk juga perkara-perkara kebaikan lain. Imam as-Syahid Imam Hasan al-Banna pernah ditegah angkat kerusi selepas ceramah beliau oleh seorang sukarelawan Ikhwan Muslimin;

“Wahai Imam, tak perlu angkat kerusi tu. Biarkan saja, kami akan angkatnya nanti”

Apa jawab Imam as-Syahid Hasan al-Banna?

“Wahai saudara, aku mengangkat kerusi ini kerana aku pun tak tahu amal manakah yang akan diterima Allah nanti”

Nah, inilah Imam yang mulia, jawapan yang sepatutnya begitu menggerunkan buat kita. “Aku pun tak tahu amal manakah yang akan diterima Allah”. Nilai Tarbiah itu bukan diukur dengan pergi balik ke Usrah, bukan dinilai dengan berapa banyak kita khatam buku atau bukan dikira berapa kelap kali kita bangun solah Tahajjud. Namun ia dikira dari segi kualitinya. Kualitinya yang mampu menyumbang buat ummat. Menyumbang sambil memartabatkan semula kebanggaan ummat ini dengan Islam.

Akhirnya saudara saudari sekalian, merasakan akan kepentingan Tarbiah itu begitu penting agar kelangsungan amal dan kefahaman kita tentang Islam akan sentiasa meningkat. Islam sudah mengajar semuanya;

“Dan bertolong-tolonglah kamu dalam perkara-perkara kebaikan, dan jangan pula engkau bertolong-tolong dalam perkara mungkar” (Al-Maidah: 2)

Jangan merasa puas dengan apa yang anda sekarang. Rebutlah peluang-peluang Tarbiah yang ada, basuh pinggan di dapur juga adalah Tarbiah yang boleh dimulakan. Ingat, sejauh mana kita meluaskan kefahaman Tarbiah itu, maka seluas itu bantuan kita kepada agama ini.

WaAllahua’lam.

MOHD NOR ADZIM BIN SHAARI
Pemangku Pengerusi
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
Cawangan Negeri Sembilan

2012

Assalamualaikum w.b.t kepada para pengunjung setia blog ini!

Apa khabar Iman anda hari ini? Apa cito anda untuk tahun baru ini?

Sudah tentu untuk setiap tahun baru menjelang, pelbagai azam dan ikrar baru dilaungkan oleh kita untuk melalui hari-hari dalam tahun ini dengan penuh semangat. 2012 tidak terkecuali.

Jika dibandingkan dengan tahun 2011, jarak Muharram-nya dengan Tahun Baru tidak terlalu jauh, sama juga dengan tahun 2012 ini- mungkin jaraknya bertambah sedikit 🙂

Oleh itu, adalah sebaiknya kita menjadikan Hadith yang paling penting dalam mendepani tahun 2012 dengan jayanya iaitu Niat.

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” (Dari kiriman Hadith 1: Niat)

2011 penuh dengan pelbagai berita dan isu dalam negara kita. Sama ada kita mahu mengambilnya sebagai pengiktibaran atau sekadar lalu di dopan mato jo. Apa yang pasti, bagi orang Mukmin, sudah tentu kita mengambilnya sebagai pengajaran dan sempadan bagi kita agar kita terus berada di landasan agama ini sehingga akhir hayat kita.

2012 datang juga dengan pelbagai persepsi dan andaian. Ado kato Kiamat tibo tahun ini, ado yang sudah mengandaikan ekonomi akan jatuh lebih teruk dari tahun 1997, dan ado jugak menyangka inilah tahun perubahan total buat negaro kito yang tercinto nie. Itu semua, buat masa ini adalah andaian, bukan lagi ketetapan. Antara usaha gigih dengan hanya berteleku berdoa kepada Allah mohonkan perubahan, sudah tentu yang berusahah gigih untuk berubah akan mendapat hasilnya.

Ya, usaha yang disandarkan dengan niat yang baik, jitu dan padu hanya semata-mata kerana Allah s.w.t akan memberi pulangan yang tidak terjangka dek mato kito di atas dunio ini. Sama ado kito yakin dan percaya sahaja dengan-Nya. Laungan tanpa usaha gigih yang terpadu, takkan mampu menggerakkan gunung beralih dari tompek asalnya. Semuanya bermula daripada kito, usaha yang gigih untuk berubah!

Jadilah seperti Umar al-Khattab yang mengubah dirinya sebelum menjadi contoh buat orang Mukmin, sedangkan Umar sebelum Islam amat membenci Islam hingga bercita-cita ingin membunuh Nabi Muhammad s.a.w. Jadilah seperti air dengan batu, air yang tidak putus-putus terjun dari langit ke batu tanah hingga batu itu terhakis sedikit demi sedikit. Logiknya kita menyangkan air bukan molekul yang kuat jika nak dibandingkan dengan batu, namun usaha yang tanpa putus menjadikan batu jugo lomah seperti air- akan terhakis jua.

Wahai orang-orang Mukmin, mulakan daripada dirimu, mulakan daripada keluargamu, mulakan daripada masyarakat sekitarmu sehinggalah kamu mengesani mereka dengan akhlak seorang Mukmin. Nescaya satu hari nanti engkau merasai Negara Islam di Tanah Air Mu.

Selamat berhijrah, selamat berubah dan selamat mengubah!

Hijrah 1433, Masihi 2012..

MOHD NOR ADZIM BIN SHAARI
PEMANGKU PENGERUSI
PERSATUAN BELIA ISLAM NASIONAL (PEMBINA)
CAWANGAN NEGERI SEMBILAN