Pertama adalah Iman

Iman adalah perkara Asas dalam kehidupan Mukmin (Gambar Hiasan)
Iman adalah perkara Asas dalam kehidupan Mukmin (Gambar Hiasan)

Mengapa Iman MESTI menjadi yang pertama? Mengapa ia tidak menjadi yang kedua? Adakah tanpa Iman, maka tiadanya Islam?

Iman bermaksud percaya atau menyakini sesuatu dengan benar melalui hati, lidah dan juga amalan. Ini sangat berharga dalam diri kita, terutama sebagai seorang Muslim. Dan sebab itulah mengapa Allah s.w.t mengarahkan kepada kita untuk masuk Islam dengan Iman;

“Wahai orang yang Beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turuti langkah-langkah Syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Al-Baqarah: 208)

Allah menyeru kepada ‘wahai orang yg beriman’, bukan kepada ‘wahai sekalian manusia’ atau ‘wahai sekalian muslimin’, tetapi ditekankan ‘Wahai Orang yg Beriman’! Kita melihat suasana sekarang yang rata-ratanya sekadar nama Islam atas nama semata, namun ‘Iman’ dalam diri entah ke mana. Ini adalah prestasi Iman yang paling lemah sekali! Maka tidak hairanlah semakin ramai di kalangan orang Islam sendiri tidak teguh pendirian mereka terhadap agama. Rapuh dan Lemah!

Syed Qutb dalam kitab terulungnya, Fi Zilalil Quran menyatakan bahawa Iman adalah Anugerah Teragung daripada Allah kepada hamba-Nya. Tidak dapat dinafikan kenyataan ini apabila kita kembali mengenang peritstiwa keimanan para sahabat r.anhum yang memperoleh hidayah daripada-Nya, kemudian bertarung dan bertahan keimanan mereka daripada diceroboh oleh kaum Kafir Quraisy.

Maka, saranan buat kita yang mengaku sebagai Orang-orang yang Beriman;

1. Sentiasa perbaharui Iman dan Niat kita. Ingat matlamat utama kita diciptakan;

“Tidak Aku ciptakan Jin dan Manusia itu melainkan beribadah kepada-Ku” (Adz-Zaariyat: 56)

2. Tadabbur ayat-ayat Al-Quran yang berkait terus dengan ‘Wahai orang-orang Beriman’. Ayat ini selalunya adalah ciri-ciri yang Allah mahukan daripada seseorang yang mengaku beriman.

3. Genggam dan Istiqomahlah.  Bila kita sudah rasakan Iman di dada, pegang ia dengan utuh, kemudian istiqomah dengan amalan-amalan yang meningkatkan Iman kita.

Allahua’lam.

Mohd Nor Adzim Shaari
Aktivis ISMA Seremban

 

Advertisements

Ramadhan buat Da’i

Ahlan ya Ramadhan!

Tinggal lebih kurang 10 hari lagi Ramadhan kan menjelma.

Bulan yang paling Mulia dihadiahkan buat kita daripada-Nya. Namun, sebagai seorang yang mengaku seorang Da’i adakah kita sudah bersedia menempuhnya? Atau kita masih menganggap diri kita seperti rakyat marhean yang menyambutnya dengan biasa-biasa, dan menanti-nantikan ketibaan Hari Ghayo?

Seharusnya, seorang Da’i itu teruja dengan kehadiran Ramadhan ini dengan pelbagai persiapan yang dibuat bagi menempuhnya. Oleh itu, saya kongsikan beberapa perkara penting buat Da’i dalam mempersiapkan diri dengan kedatangan Ramadhan yang telah di sampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Mohd Azizee Hassan kepada Du’at di luar sana:

  1. Tingkatkan ketaqwaan. Dalam natijah akhir pada ayat kewajipan berpuasa buat kita ialah saranan untuk kita agar bertaqwa kepada Allah. Kenapa? Dengan Taqwa yang tinggi akan membentuk pandangan para Da’i itu jelas melihat yang mana Haq dan mana yang Batil.
  2. Bulan latihan bagi sikap Sabar. Apabila digelar sebagai Da’i, sudah pasti terdedah dengan pelbagai mehnah tribulasi buat sang Da’i. Begitu juga dalam Ramadhan, dengan larangan Allah terhadap hamba-Nya untuk tidak makan di siang hari, ini merupakan latihan buat Da’i dalam mentaati Allah serta sabar dalam meninggalkan larangan Allah. Jika tiada sikap sabar ini dalam diri Da’i, SELAMANYA kemenangan yang dicari itu tidak akan tiba!
  3. Bulan Jihad dan Perjuangan. Mengenang kembali peristiwa besar dalam Ramadhan yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.anhum, sudah tentu terbayang dalam pemikiran kita akan kemenangan Badar serta pembukaan Makkah ketika itu. Namun, sebelum kemenangan itu tercapai, Jihad yang telah ditempuh oleh mereka sudah tentu jihad melawan hawa’ nafsu yang sangat hampir dalam diri kita. Jadi, kemenangan yang ingin digapai oleh para Da’i itu mestilah bermula dengan kemenangan kecil pada diri kita – lawan Hawa’ Nafsu.
  4. Bina intima’ Jama’i. Ramadhan adalah bulan di mana semua umat Islam berpuasa, menunaikan ibadah secara bersama-sama dan amat penting buat Da’i memposisikan diri dalam kebersamaan melaksanakan ibadah ini dengan Jamaah yang disertai. Sekiranya perkara ini diabaikan oleh seseorang Da’i itu maka akan berlaku ketidakstabilan dalam organisasi itu.

Dengan mempersiakan mental berasaskan 4 perkara di atas, para Da’i akan terus mara walaupun dalam bulan Ramadhan. Kita semua perlu sedar bahawa kedatangan Ramadhan bukanlah untuk ditangisi bahkan untuk disambut dengan kegembiraan. Ketika inilah Allah menunjukkan sifat Maha Pemurah-Nya buat kita secara besar-besaran. Bayangkan setiap amal yang dilaksanakan dalam bulan ini, Allah melipat kali gandakan ganjaran-Nya kepada kita.

Jadi, adakah kita mahu menjadi Da’i yang tersungkur awal di ambang Ramadhan?

Allahua’lam

Mohd Nor Adzim Shaari
Aktivis ISMA Seremban

 

Adakah kita ‘kenal’ erti Zuhud?

Adakah kita kenal apa itu ZUHUD?
Adakah kita kenal apa itu ZUHUD?

Dalam zaman moden ini, banyak berlaku kepincangan ilmu di kalangan umat Islam lebih-lebih lagi ilmu Agama. Ada di antara kita merasakan cukup sekadar mengetahui surface sesetangah istilah, kemudian digunakan atas kefahaman dirinya sendiri tanpa merujuk para Ulama’ yang thiqah serta kitab-kitab Muktabar. Sekiranya dia merasakan istilah itu tidak ‘kena’ dengan maksud yang sesuai dengan dirinya, maka dia akan tolak.

Antara istilah yang sering di salah tafsir ialah Zuhud. Kebanyakan manusia memahami Zuhud dengan meninggalkan dunia – totally! Dalam kitab Talbis Iblis (Dasyatnya Tipu Daya Iblis) menegaskan bahawa erti Zuhud bukan semata-mata kita menolak atau mencela dunia itu, atau meninggalkan tempat tinggal lalu pergi ke gunung untuk beribadah di sana dengan meninggalkan solat berjamaah atau juga solat Jumaat, atau meninggalkan ibunya yang amat memerlukan bantuan anaknya dalam menguruskan kehidupan hariannya – bukan itu maksudnya!

Hakikatnya, Ibnu Qayyim menegaskan bahawa Zuhud yang dicela ialah mengambil sebahagian dari dunia yang tidak dihalalkan, atau mengambilnya secara berlebih-lebihan, tidak menurut kadar keperluan serta tidak menurut hukum syarak.

Antara gambaran muslihat Iblis terhadap para Zuhud ialah:

  1. Enggan mendalami ilmu kerana sibuk dalam urusan Zuhud. Mereka merasakan zuhud tidak perlu ilmu yang mendalam untuk mempraktikkannya atau cukup dengan amalan zuhud tanpa ilmu akan menyelamatkannya. Meraka menganggap telah menggantikan sesuatu yang kurang baik (mendalami ilmu) dengan sesuatu yang lebih baik (zuhud). Padahal manfaat orang yang berilmu itu boleh disebarkan merata-rata. Berapa banyak pula orang yang berilmu mampu menuntun ahli ibadah kepada kebenaran?
  2. Mereka beranggapan bahawa yang disebut zuhud itu ialah meninggalkan perkara-perkara Mubah. Contohnya, seperti tidak mahu berpakaian cantik sedangkan dirinya mampu berbuat demikian, apatah lagi Baginda s.a.w cukup menyukainya. Ada juga yang hanya makan sedikit sangat sehingga menyebabkan tubuh badan kering kontang seperti mayat bernyawa! Baginda s.aw akan makan jika ada makanan, dan menahan lapar sekiranya tiada makanan.
  3. Mereka beranggapan juga bahawa zuhud adalah rasa puas dalam masalah makanan dan berpakaian semata. Namun, dalam masa yang sama mereka tidak mengawal nafsu mereka untuk berlumba-lumba mengejar jawatan besar atau kemasyhuran di hadapan masyarakat. Maka, mereka berpura-pura zuhud dengan menunjukkan rasa hormat terhadap penguasa atau orang kaya, namun orang yang miskin langsung tidak diendahkannya. Adakah ini Zuhud yang mereka pegang?

Ingat! Tubuh kita ini adalah kenderaan di atas dunia. Wajib dijaga, bahkan wajib menunaikan haknya. Seperti kereta kita, jika tidak dijaga maka akan cepat rosak dan sangkut di tengah jalan serta menyusahkan kita dalam memandunya. Zuhud bukanlah amalan untuk menyusahkan kita dalam mentaati Allah, bahkan maksud sebenar Zuhud untuk kita bersederhana dalam menaati-Nya.

Sekiranya anda ingin menjadi seorang yang Zuhud, belajar dan fahamilah ertinya, seperti mana yang telah ditegaskan oleh Ibnu Qayyim dalam kitabnya ini. Zuhud bukanlah kita menolak dunia seluruhnya secara mentah-mentah, apatah lagi mengambilnya melampau-lampau, namun dunia ini perlu diambil sekadarnya agar matlamat akhirat tidak dihalang olehnya.

Allahu’alam.

 

Rujukan:

1. Talbis Iblis : Dasyatnya Tipu Muslihat Iblis – Ibnul Qayyim Al-Jauzi.

Mohd Nor Adzim Shaari
Aktivis ISMA Seremban