Chong Wei Tidak Putus Asa, Kita?

Lee Chong Wei

Siapa tak kenal Lee Chong Wei kan? Pemain Badminton No. 1 Dunia dari Malaysia.

Mengapa nak cito pasai dio plak?

Kepada mereka yang tak tahu, jom tengok video kek bawah dulu. Pahtu, baru tahu ‘tujuan’ utama tulisan ini.

Dah tengok?

Mesti dah tahukan kenapa saya tulis tajuk di atas? Jom kita tadabbur ayat di bawah pula:

“Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman.” (Ali-Imran: 139)

Dalam ayat di atas, Allah swt menyentuh berkenaan kita dalam keadaan lemah, bahkan bila kita bersedih hati. Allah memberikan harapan kepada kita, sebagai seorang yang beriman kepada-Nya, bahawa kita adalah manusia yang tinggi darjat-Nya dengan keimanan kita kepada Allah, ketundukan dan kepasrahan kita diserahkan bulat-bulat kepada Allah. Bila kita diuji-Nya, ketahuilah bawah Allah sedang menilai kita untuk ditinggikan darjat. Bila kita dirudung kesedihan, ketahuilah Allah mahu kita bersimpuh di hadapan-Nya memohon ampun dan petunjuk daripada Allah.

Jika dilihat video di atas, Datuk Lee Chong Wei ketinggalan satu set, kalah di set pertama kepada Lin Dan. Adakah beliau berputus asa? Tidak! Sama sekali tidak! Bahkan kelihatan semasa rehat Datuk Lee Chong Wei berbincang semula dengan Datuk Misbun Sidek untuk mengatur semula strategi baru bagi set-set seterusnya. Dan akhirnya beliau menjuarai Super Seris Korea! Sama juga dengan kita. Tidak seharusnya kita berputus asa atau berduka lara dengan dugaan mahupun bencana yang berlaku ke atas kita. Ya, orang akan kata kepada kita bila dah lama tak jumpa misalnya;

“Ekau dah futur ek? Lamo tak jumpo..”

“Hang pi mana selama nie? Celaru identiti la tue..”

Cuba kita renung semula kisah peperangan yang pernah disertai Khalid al-Walid iaitu Perang Mu’tah. Nabi saw menghantar satu ketumbukan tentera Islam untuk berperang dengan Rom, Nabi saw telah mewasiatkan kepada 3 orang para sahabat untuk saling berganti-ganti selepas syahid seorang demi seorang. Sahabat itu ialah Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Thalib dan Abdullah bin Rawahah. Akhirnya, bila ketiga-tiga sahabat agong ini syahid maka para sahabat yang lain bersepakat melantik Khalid al-Walid sebagai panglima perang mereka untuk memimpin. Apakah tindakan Khalid al-Walid? Bersedih hati dengan kematian para sahabat tadi? Lari dari medan perang?

Tidak!

Jom lihat hadith Nabi Muhammad saw di bawah:

“..akhirnya panji itu diambil oleh “pedang Allah“ (Khalid bin Walid) dan akhirnya Allah mengaruniainya kemenangan kepada mereka (kaum Muslimin)”

Hadith ini menunjukkan kepada kita bahawa apabila jawatan turus tentera diserahkan kepada Khalid al-Walid, maka Islam menang. Jika diteliti dalam kitab sirah yang masyhur, ditulis oleh Said Ramadhan al-Buthi, Khalid al-Walid terus mengobarkan semangat tentera Islam untuk menggempur tentera Rom sebentar tadi, bukan beliau mengalah atau mengundur. Selepas melihat tentera Rom berundur dari medan peperangan, Khalid al-Walid tidak mengejar dan membunuh mereka, bahkan dengan kebijksanaan beliau, beliau membawa tentera Islam ‘berundur’ ke Madinah. Adakah ini menunjukkan putus asa Khalid al-Walid r.anhu?

Tidak!

Lihat teguran Nabi saw ketika ada di kalangan Muslimin yang menyambut mereka dengan berkata; “Wahai orang-orang yang lari! Kalian lari daripada Allah!”. Nabi menegaskan,“Mereka tidak lari (dari medan perang) tetapi mundur untuk menyerang kembali, insya Allah”. Sesungguhnya kata-kata Nabi saw adalah wahyu daripada Allah. Sikap optimistik jelas terpapar dalam jiwa Baginda yang sangat yakin bahawa Islam akan kembali dan terus menang dalam kemenangan yang akan datang, bahkan ia menjadi realiti selama 1300 tahun Islam memerintah Dunia.

Seperkara lagi, hal yang terpenting dalam dua kisah yang saya bawa ini ialah kebijaksanaan kita mengatur semula diri kita selepas ditimpa musibah. Dan sebab itulah Khalid al-Walid membuat keputusan yang tepat ketika men’gundur’kan tentera Islam dalam Perang Mu’tah. Mungkin strategi kita sebelum ini gagal atau tidak sesuai bagi mencapai sesuatu matlamat itu. Maka kita perlu mengatur semula, retreat kan semula diri kita, membasuh diri habis-habisan dan kembali semula dengan semangat baru! Tanamkan azam bahawa kita boleh buat yang terbaik!

Optimistik, Tidak putus asa, Tidak merasa lelah, Tidak bersedih. Ini antara kunci sikap yang ditunjukkan dalam kisah Perang Mu’tah. Namun, tika ini sikap-sikap yang dilihat dalam Perang Mu’tah ini seakan-akan kelihatan kepada orang bukan Islam, seperti tajuk tulisan ini. Adakah kita ingin melihat umat Islam dirudung malang, malang dan malang lagi? Atau kita mahu bangkit semula, kembali kepada Allah secara total, sedikit demi sedikit mengubah diri menjadi lebih baik untuk Islam?

Pilihan di tangan Anda!

MOHD NOR ADZIM BIN SHAARI
PENGERUSI
PERSATUAN BELIA ISLAM NASIONAL (PEMBINA)
CAWANGAN NEGERI SEMBILAN
Advertisements

Rahmat Ujian

Wardina Safiiyah sekeluarga

Pada asalnya, artikel ini ingin ditulis buat mahasiswa dan mahasiswi yang akan berdepan dengan Final Exam sekarang. Namun, hikmah Allah itu lagi luas mengatasi segala-galanya. Moga cerita ini juga memberi Rahmat buat anda. Sedang saya membelek-belek FB saya pagi tadi, saya sempat membaca satu note daripada wanita yang popular dan menjadi inspirasi buat semua Muslimah di Malaysia sekarang. Namanya sudah tentu Wardina Safiiyah.

Terkejut dan terkesima saya. Betulkah? Apabila saya membaca note yang ditulis oleh beliau sendiri, dengan cerita yang begitu menyentuh, serta berita yang keluar dari radio IKIM pagi tadi, membuatkan saya yakin bahawa saudari kita ini telah ditimpa musibah. Namun, hati saya lebih terharu bila membaca tulisan dalam notanya yang begitu menyedarkan kita.

Secara ringkasnya, rumah keluarga Wardina Safiiyah telah dimasuki pencuri pada kesunyian malam. Dalam kejadian tersebut, kak Wardina yang begitu terkejut apabila sedar, diminta untuk menyerahkan segala barang kemas yang ada padanya kepada pencuri tersebut. Apa yang ada pada kak Wardina hanyalah sebuah cincin belah rotan peninggalan neneknya kepada beliau sebagai satu warisan. Cincin yang penuh kenangan.

Mungkin inilah ujian untuk hamba-hambaNya yang beriman. Untuk menguji sejauh manakah iman kita kepada-Nya.

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, ‘Kami telah beriman’, dan mereka tidak diuji?. Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)

Beruntunglah keluarga kak Wardina Safiyyah atas musibah ini yang menguji beliau sekeluarga. Yakinlah bahawa Allah sentiasa bersama akak dan keluarga dalam mengharungi ujian ini. Apa yang pasti dalam tulisan beliau yang begitu menggetarkan jiwa-jiwa kita, di akhir satu perenggan beliau mengatakan bahawa ‘Musibah demi musibah , membuatkan diri lebih dekat dengan Ilahi’. SubhanaAllah, manisnya iman itu.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal, (iaitu) orang-orang yang melaksanakan solah dan yang menginfa’kan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (Al-Anfal: 2-3)

Ketabahan mereka sekeluarga harus dicontohi oleh segenap lapisan masyarakat kita sekarang. Bahawasanya betapa penting pendidikan iman dalam diri setiap individu kita. Lihat contoh jawapan yang dikeluarkan oleh kak Wardina sendiri, semuanya pergantungan total kepada Allah, tiada langsung perasaan dendam dalam ucapannya- tidak seperti kebanyakan masyarakat kita sekarang.

“Siaplah kau nanti bila aku dapat kau!”

“Jahanam punya orang, buat susah orang jer!”

“Argh, habis barang-barang kemas aku dikebas. Mahal pulak tue!”

Bagaimana nak dapat jawapan seperti kak Wardina dan sekeluarga? Sudah tentu dari iman yang begitu mendalam kepada Allah! Dengan belajar ilmu fardhu ain bersama ustaz-ustazah, berbincang dengan para ilmuwan Islam, bertanya bila tidak faham kepada mereka yang ahli, menunaikan solah pada waktunya, membaca dan mentadabbur al-Quran, menghayati sirah Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.anhum, serta banyak lagi cara-cara kita meningkat iman kita.

Semangat tidak putus asa daripada Rahmat Allah begitu tersemat dalam hati kak Wardina. Rasa iman yang manis begitu dirasainya oleh beliau sekeluarga. Seharusnya bagi kita yang muda belia ini perlu ada rasa cemburu dengan beliau. Iman dan Taqwa boleh dikecap oleh kita, jika kita berusaha sungguh-sungguh untuk mendapatkannya.

Moga Allah sentiasa memberi kita peluang untuk mengecap kemanisan Iman.

Keadaan rumah Wardina Safiyyah sekeluarga

(Disertakan pautan ‘notes’ yang ditulis sendiri oleh Wardina Safiyyah)

https://www.facebook.com/note.php?note_id=266430563421046

MOHD NOR ADZIM BIN SHAARI
Pemangku Pengerusi
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
Cawangan Negeri Sembilan

Apa Erti Saya Menganut Islam (Bahagian 8)

99 Nama-nama Allah

“Saya mestilah mempelajari dan berusaha untuk mengetahui nama-nama dan sifat-sifat yang layak bagi Allah”

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah kerana masih diberi peluang untuk menghirup nafas segar di atas muka bumi ini. Selawat dan salam buat junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w, tauladan buat kita dalam setiap aspek kehidupan sebagai seorang Muslim. Salam juga buat para sahabat r.anhum, tabi’in, tabi’ tabi’in, para ulama’ serta umat Muslimin dan Muslimat dikasihi Allah sekalian. Moga kita semua sentiasa di bawah lembayung Rahmat dan Inayah-Nya di atas muka bumi ini- Ameen.

Saudara saudari sekalian,

Kita bersambung dalam siri ke-8 Apa Erti Saya Menganut Islam, buku yang dikarang oleh Al-Marhum Al-Fadhil Ustaz Fathi Yakan seorang pendakwah terkenal di era 21 ini. Untuk siri kali ini, al-Fadhil Ustaz menasihatkan kita agar mempelajari dan berusaha untuk mengetahui nama-nama dan sifat-sifat yang layak hanya bagi Allah s.w.t. Sudahkah kita menghafalnya, atau sekurang-kurangnya tahu sedikit sebanyak nama Allah?

Selama ini, kita lebih menghafal nama-nama artis terkenal tanah air, bahkan bukan itu sahaja, kita juga hafal artis itu dari mana, tinggal di mana, makanan kegemaran apa, hobi apa, dah kahwin ke belum, artis nie asyik kontroversi ka, pernah berlakon tak, dan bermacam lagi soalan yang begitu mendalam berkenaan artis tersebut namun kita tetap mampu menjawabnya. Akan tetapi, bagaimana pula dengan Tuhan pencipta kita? Sudahkah kita mengenali-Nya? Pernahkah kita cuba ber’taaruf’ dengan-Nya? Atau sudahkah kita hampir dengan-Nya dalam apa jua keadaan melanda kita?

Abu Hurairah r.anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Allah mempunyai 99 nama, seratus kurang satu, tidak seorang pun yang menghafaznya kecuali beliau akan masuk syurga. Allah itu ganjil (yakni tidak genap) dan Allah menyukai perkara ganjil (tidak genap).” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Tahukah selama ini kita akan 99 nama Allah? Dan tahukah kita bahawa Allah amat menyukai perkara yang ganjil? Ayuh kita kaji sebentar;

  1. Penciptaan langit dan bumi, 7 lapisan petala langit dan 7 lapisan bumi.
  2. Kehamilan ibu, 9 bulan.
  3. Hari, ada 7 hari.
  4. Lailatu Qadr, ulama’ bersepakat mengatakan pada malam-malam ganjil.
  5. Peristiwa Hijrah, Nabi s.a.w berHijrah selepas 13 tahun berdakwah di Makkah..

Dan banyak lagi. Saya yakin kita sama-sama boleh cari dan apa yang penting ialah pemahaman kita dalam siri kali ini.

Kita secara realitinya, tidak ramai yang mengenali Allah secara dekat dengan nama dan sifat-sifatnya. Kita lebih mengenali orang lain dalam dunia ini berbanding Tuan kepada dunia ini. Ambil satu misalan, antara kita dengan Boss kita. Sebagai seorang pekerja bawahannya sudah pasti kita kena taat dan patuh pada segala arahannya. Jika nak naik pangkat atau dipandang oleh Boss kita, sudah tentu kita buat kerja dengan terbaik bukan? Bahkan bukan itu saja, kita akan cuba mengenali Boss kita secara sedikit demi sedikit bagi mengambil hatinya..

Seperti juga kita dengan Allah s.w.t, Tuhan kita. Tuan dunia ini. Bahkan aturan Allah itu lebih besar daripada hubungan pekerja dengan Boss. Cukup sudah kita mengenali Allah dengan sifatnya yang Al-Ghaffar (Maha Pengampun). Bayangkan jika kita dengan Boss, apabila kita lakukan kesalahan sudah pasti kita dipandang ‘lain’ oleh Boss kita. Namun bukan pada Allah. Allah sentiasa memberi ruang dan peluang buat kita untuk terus menerus memohon ampun daripada-Nya. Dia tidak menghukum secepat mungkin berbanding dengan Boss kita. Dia sentiasa mengharapkan diri kita untuk merendahkan diri di hadapan-Nya, memohon ampun daripada-Nya. Ada Boss kita buat begitu? Hanya segelintir sahaja.

Kesimpulannya saudara saudari sekalian, kenalilah Tuhan kita beserta sifat-sifatNya. Jadikan Ma’rifatullah (Kenal Allah) sentiasa berada dalam diri kita. Himpunan nama-nama Allah dan juga saranan daripada Baginda s.a.w tentang nama-nama Allah ini adalah untuk kita hampir kepada-Nya. Mengenali-Nya dengan penuh kasih sayang serta mencontohi seberapa banyak yang boleh akan sifat-sifat Allah ini. Bukankah sifat-sifat Allah itu yang Terbaik boleh kita ikuti?

WaAllahua’lam

Rujukan

1. Al-Marhum Al-Fadhil Ustaz Fathi Yakan. Maza ya’ni li intima’il Islam (Apa Erti Saya Menganut Islam). Pustaka Salam Sdn.Bhd.

MOHD NOR ADZIM BIN SHAARI
Pemangku Pengerusi
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
Cawangan Negeri Sembilan

Pesanan daripada seorang Adik…

Nur Bahia Humairah, permata pertama.

Alhamdulillah, syukur tidak terhingga kepada tuan punya alam ini kerana terus memberi kurniaan besar-Nya kepada kita iaitu nikmat Islam dan Iman. Moga kita terus di lembayung-Nya.

Alhamdulillah juga kepada-Nya kerana dengan izin-Nya pada minggu lepas saya telah mendapat anak saudara yang ke-4, Nur Bahia Humairah binti Mohd Nor Hafiz. BarakaAllahufik kepada pasangan Mohd Nor Hafiz Shaari (Alang) dan Jamilah Johny (kak Ipar) atas kurniaan besar ini kepada mereka. Moga dengan lahirnya cahaya mata ini akan menghangatkan kasih sayang dalam keluarga nanti.

Sebagai seorang adik yang paling kecil dan tak cukup pengalaman ini, amat tergerak ingin melihat anak saudaranya menjadi sebaik nama yang diberi oleh ibu dan ayahnya..sebagai pesanan daripada seorang adik..:-

  • Ketahuilah, didiklah anak dengan didikan Islam yang Tulen dan Syumul kerana itulah amanah yang besar sebagai seorang bapa dan ayah. Nabi s.a.w ada berpesan bahawa ibu bapa lah yang akan menjadikan anak-anaknya di kalangan Yahudi, Nasrani mahupun sebagai seorang Muslim.
  • Sifat kasih dan sayang adalah sifat yang paling utama dalam mendidik anak-anak. Bukan memanjakan, akan tetapi membelai mereka sebagai seorang anak dan setiap insan yang dilahirkan di dunia amat-amat berhak memperoleh kasih sayang daripada seorang ibu bapanya sendiri.
  • Alunkan bacaan Al-Quran kepada anak setiap hari. Biasakan dengan amalan-amalan tilawah al-Quran hampir dengan anak agar anak ini telah dibiasakan dengan mendengar ayat-ayat suci yang datangnya daripada Allah s.w.t. InshaAllah, hati bayi terjaga dan disucikan.
  • Berikan makanan terbaik buat anak. Al-Quran telah mengajar kita bahawa susu ibu untuk anak dua tahun pertama adalah makanan asasi terbaik buat anak. Jika menghadapi masalah, kuatkan usaha untuk elakkan daripada memberi makan kepada anak dengan makanan-makanan yang punyai bahan tidak halal. Pastikan halal sebelum diberi kepada anak.
  • Akhirnya, pengorbanan daripada ibu bapa adalah sangat-sangat diperlukan dalam mendidik anak. Ingatlah! Pengorbanan ini tidak sekali-kali akan mensia-siakan hidup sebagai ibu bapa, bahkan akan menguntungkan kelak buat kita di hari tua.

Walaupun saya seorang adik dan belum berkeluarga, tapi semua di atas hanyalah pesanan daripada seorang adik yang sangat-sangat mengharapkan anak saudaranya mampu menjadi harapan buat keluarga. Apatah lagi, ia akan lebih beerti apabila ibu dan bapa tadi berjaya mendidik anaknya hingga menjadi harapan Ummah. Letaklah visi dan misi yang besar buat anak kerana tindakan ini tidak sekali-kali mensia-siakan kehidupan ibu dan bapa, bahkan percayalah ia akan menguntungkan. Mulalah daripada didikan keluarga untuk melihat anak berjaya kelak dan berjasa buat keluarga, masyarakat, bangsa dan agama.

Terus Maju abangku dan kakak ku, Mohd Nor Hafiz Shaari & Jamilah Johny

“Saudara, sesungguhnya Allah itu dekat”

 

Ya, Tuhan itu dekat. (Credit to Galeri Ilmu)

 

Ya, Allah itu amat dekat dengan kita. Cuma sedar atau tak sedar sahaja oleh kita.

Seringkali kita mengeluh apabila kita ditimpa dengan ujian dalam kehidupan kita. Diri kita seakan-akan tidak mampu untuk menanggungnya. Tapi, pernahkah minda kita terfikir kenapa ya, kita terpilih untuk menggalas beban tersebut? Pernah tak dalam benak kita yang sebenarnya bebanan diberikan ke atas kita, kita boleh selesaikan? Saya pasti ramai di kalangan kita tidak terfikir ke arah itu. Namun, Allah s.w.t itu sayang akan kita. Jom hayati ayat ini:

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya…” (Al-Baqarah: 286)

Ya, Allah itu tidak akan membebani hamba-hambaNya dengan bebanan yang tidak mampu dipikul oleh kita.

Continue reading ““Saudara, sesungguhnya Allah itu dekat””

Di manakah kita?

 

Di manakah kita?

 

Anda tahu di manakah anda sekarang? Dalam minda anda sekarang sudah pasti anda menyatakan bahawa ‘aku sekarang dalam pejabat’ atau pun ‘aku sekarang di CC’. Mungkin ada di antara kita masih tertanya-tanya di manakah dirinya. Saya cuba mengetengahkan beberapa persoalan dalam tajuk di atas, pertama- posisi kita sebagai bangsa Melayu Islam sekarang? dan kedua- adakah kita punya harapan untuk menjadi bangsa terhebat pada masa akan datang? Continue reading “Di manakah kita?”

Bagaimana Ramadan Anda tahun ini?

Ramadan Kareem! (Credit to iLuvIslam)

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” ( Al-Baqarah: 183 ).

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah…

Kita masih diberi peluang oleh Allah s.w.t untuk terus hidup di atas muka bumi bagi meneruskan pengabdian kita kepada Allah s.w.t. Apa yang penting sekarang, kita juga diberi oleh Allah sekali lagi untuk bertemu dengan Ramadan Kareem! Bulan Barakah, Bulan Tarbiyyah untuk seluruh umat Islam. Setiap umat Islam memahami bahawa dalam bulan inilah pahala kita dilipat kali gandakan berbanding bulan-bulan yang lain. Bulan inilah bulan penyucian jiwa umat Islam yang selama ini bergelumang dengan dosa-dosa dalam bulan yang lain. Bulan yang terbukanya pintu Rahmah dan Keampunan seluas-luanya bagi hamba-Nya.

Kemurahan Allah s.w.t ketika ini tidak dapat digambarkan mahupun dinafikan oleh kita semua. Lihat sahajalah peristiwa Badar yang telah berlalu 1400 tahun yang lepas. Kemenangan Rasulullah s.a.w bersama para Sahabat r.anhum dalam peperangan ini merupakan tanda-tanda awal kemenangan Islam di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w, dan peristiwa ini berlaku dalam bulan yang mulia ini. Mengapa ya? Secara logika nya, kita akan melihat kekurangan tenaga kerana berpuasa di siang hari oleh kaum Muslimin akan melemahkan kekuatan mereka ketika berhadapan dengan kaum Musyrikin ketika itu. Tambahan pula, kaum Musyrikin yang tidak berpuasa ketika itu mempunyai kapasiti tentera yang melebihi kaum Muslimin dengan nisbah 3:1. Namun, mengapa kaum Muslimin menang ya?

Apa yang pasti, ayat di atas telah memberi gambaran awal kemenangan kaum Muslimin dalam peperangan Badar tersebut. Takwa! Ya, puasa seharusnya mengajar kita bertakwa, sebagaimana orang-orang terdahulu berpuasa supaya beroleh takwa. Keimanan dan keteguhan takwa kaum Muslimin dalam perang Badar ini tidak dapat disangkal lagi oleh kita semua. Boleh dikatakan semua ahli peperangan ini merupakan para Sahabat yang terkenal dek keimanan mereka terhadap Allah dan Rasul-Nya. Namun, adakah ia berlaku ke atas kita sekarang?

“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang bertakwa.” ( Ali-Imran: 133 ).

Ayuh! Bangkitlah! Sekiranya kita tidak menemui Ramadan seperti Rasulullah s.a.w dan para Sahabat r.anhum lagi, mari kita mencarinya. Mungkin kita tidak menjumpai sekarang, akan tetapi sekiranya kita menanamkan azam untuk mencarinya, InshaAllah kita tetap menjumpainya satu hari nanti. Bermulah daripada diri kita sekarang. Bersegera memohon ampunan daripada tuhan yang esa, Allah. Memohon daripada-Nya untuk tetap di atas jalan-Nya, memanfaatkan segala waktu dan ruang yang ada dalam Ramadan kali ini. Jadikan Ramadan tahun ini umpama Ramadan terakhir dalam kehidupan kita. InshaAllah, kita beroleh ganjaran yang tidak tergambar dengan mata kasar kita!

Selamat Beramal dalam Ramadan tahun ini…

MOHD NOR ADZIM BIN SHAARI

MAHASISWA TAHUN EMPAT

FAKULTI EKONOMI DAN MUAMALAT

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)