Ramadhan buat Da’i

Ahlan ya Ramadhan!

Tinggal lebih kurang 10 hari lagi Ramadhan kan menjelma.

Bulan yang paling Mulia dihadiahkan buat kita daripada-Nya. Namun, sebagai seorang yang mengaku seorang Da’i adakah kita sudah bersedia menempuhnya? Atau kita masih menganggap diri kita seperti rakyat marhean yang menyambutnya dengan biasa-biasa, dan menanti-nantikan ketibaan Hari Ghayo?

Seharusnya, seorang Da’i itu teruja dengan kehadiran Ramadhan ini dengan pelbagai persiapan yang dibuat bagi menempuhnya. Oleh itu, saya kongsikan beberapa perkara penting buat Da’i dalam mempersiapkan diri dengan kedatangan Ramadhan yang telah di sampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Mohd Azizee Hassan kepada Du’at di luar sana:

  1. Tingkatkan ketaqwaan. Dalam natijah akhir pada ayat kewajipan berpuasa buat kita ialah saranan untuk kita agar bertaqwa kepada Allah. Kenapa? Dengan Taqwa yang tinggi akan membentuk pandangan para Da’i itu jelas melihat yang mana Haq dan mana yang Batil.
  2. Bulan latihan bagi sikap Sabar. Apabila digelar sebagai Da’i, sudah pasti terdedah dengan pelbagai mehnah tribulasi buat sang Da’i. Begitu juga dalam Ramadhan, dengan larangan Allah terhadap hamba-Nya untuk tidak makan di siang hari, ini merupakan latihan buat Da’i dalam mentaati Allah serta sabar dalam meninggalkan larangan Allah. Jika tiada sikap sabar ini dalam diri Da’i, SELAMANYA kemenangan yang dicari itu tidak akan tiba!
  3. Bulan Jihad dan Perjuangan. Mengenang kembali peristiwa besar dalam Ramadhan yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.anhum, sudah tentu terbayang dalam pemikiran kita akan kemenangan Badar serta pembukaan Makkah ketika itu. Namun, sebelum kemenangan itu tercapai, Jihad yang telah ditempuh oleh mereka sudah tentu jihad melawan hawa’ nafsu yang sangat hampir dalam diri kita. Jadi, kemenangan yang ingin digapai oleh para Da’i itu mestilah bermula dengan kemenangan kecil pada diri kita – lawan Hawa’ Nafsu.
  4. Bina intima’ Jama’i. Ramadhan adalah bulan di mana semua umat Islam berpuasa, menunaikan ibadah secara bersama-sama dan amat penting buat Da’i memposisikan diri dalam kebersamaan melaksanakan ibadah ini dengan Jamaah yang disertai. Sekiranya perkara ini diabaikan oleh seseorang Da’i itu maka akan berlaku ketidakstabilan dalam organisasi itu.

Dengan mempersiakan mental berasaskan 4 perkara di atas, para Da’i akan terus mara walaupun dalam bulan Ramadhan. Kita semua perlu sedar bahawa kedatangan Ramadhan bukanlah untuk ditangisi bahkan untuk disambut dengan kegembiraan. Ketika inilah Allah menunjukkan sifat Maha Pemurah-Nya buat kita secara besar-besaran. Bayangkan setiap amal yang dilaksanakan dalam bulan ini, Allah melipat kali gandakan ganjaran-Nya kepada kita.

Jadi, adakah kita mahu menjadi Da’i yang tersungkur awal di ambang Ramadhan?

Allahua’lam

Mohd Nor Adzim Shaari
Aktivis ISMA Seremban

 

Advertisements

Jaulah Tarbiah- ke Utara lagi

Alhamdulillah. Masih diberi nyawa oleh-Nya untuk terus hidup.

28 Jun 2013, bermula satu lagi Jaulah (kembara) Tarbiah ke utara. Kali ini bersama para pemuda harapan negara dari Nilai. Rata-ratanya berumur 19-25 tahun. Objektif utama kali ini ialah memperkuatkan ukhwah sesama ahli serta mentadabbur alam ciptaan-Nya dan mengutip pengalaman Tarbiah daripada tok syeikh-tok syeikh yg sudah lama berjuang dalam medan ini.

Kami bertolak dalam pukul 11.15 malam dari Nilai. Dua(2) buah kereta telah dipenuhi oleh para pemuda ini- Alza dan Unser. SubhanaAllah, salah sebuah kereta yg dinaiki diberi pinjam tanpa syarat untuk dimanfaatkan sepanjang jaulah kali ini. Namun, budaya kita sebagai umat Islam, sangatlah dituntut untuk menjaga hak barang yg dipinjamkan kepada kita. ‘Ya Allah, engkau berkatilah kenderaan ini dalam kami mengagungkan-Mu.’

Sepanjang perjalanan itu, pelbagai perkara dibincang oleh para pemuda ini. Ada satu perkongsian menarik daripada Riduan Muhammad, seorang graduan di salah sebuah universiti di Amerika Syarikat (AS) menceritakan pengalaman beliau untuk mendapatkan & membuat tarbiah buat dirinya serta orang lain di sana. Katanya;

“Saya nak pergi ke Usrah selalunya ambil masa 9 jam untuk jumpa murobbi (pendidik) saya!Alhamdulillah, teknologi juga serba sedikit meringankan jurang ini. Jika bawak usrah pulak, ambil masa 4 jam nak sampai ke destinasi Mutarobbi saya tu” cerita beliau penuh semangat. Dan, beliau tidak pula memberi alasan jauh dan lama itu sebagai penghalang buat dirinya untuk beliau tidak ke usrah. Kita? Tanya Iman kita, dan renungilah sejenak.

Subuh hening di R&R Gurun telah menjadi saksi kami tiba di wilayah utara. SubhanaAllah! Ramai yg berhenti Solah Subuh berjamaah di sana. Sehinggakan melimpah ruah dari surau yg disediakan di R&R tersebut. Ini satu petanda yg baik. Dari kita melihat setiap manusia pada sudut negatif, eloklah kita pandang pada sudut positif pula. Kan ini juga baik?

Sinar cahaya di Kedah
Sinar cahaya di Kedah

Usai menunaikan Subuh, kami berehat sebentar. Recharge energy sat.. 7.00 pagi kami menyambung perjalanan kami ke Perlis- destinasi pertama yg dituju buat jaulah kali ini. Moga firman Allah s.w.t ini dapat dipenuhi kami sepanjang perjalanan ini;

“Katakanlah (Muhammad),’Berjalanlah atas muka bumi ini, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yg mendustakan itu.” (Al-An’am: 11)

Dan kami tiba di Alor Setaq…juga

Geng Jaulah 2013.
Geng Jaulah 2013
Adzim Shaari
29 Jun 2013, Pejabat ISMA Perlis

Ramadhan bulan Perjuangan

Salam Ramadhan dan Salam Juang kepada semua.

Kini, kita tiba pada malam-malam akhir Ramadhan bagi 1433 Hijrah. Berbagai usaha dan amalan yg telah kita mulakan dan giatkan sepanjang 24 hari pada bulan ini. Kadang-kadang konsisten dan kadang-kadang tersangkut. Namun, apa yg penting bagi kita semua ialah semangat juang untuk meneruskan malam-malam baki Ramadhan tahun ini dengan Jaya dapat diteruskan momentumnya.

Ramadhan adalah bulan perjuangan, bukan hanya bulan pembersihan diri semata-mata. Bahkan saudara sekalian, usaha-usaha untuk membersihkan hati juga memerlukan semangat juang dalam menjayakannya. Ia bukan Mudah!

Mengapa Ramadhan adalah bulan Perjuangan?

  1. Kemenangan pertama Umat Islam dalam sejarah Dunia, sewaktu keRasulan Nabi Muhammad s.a.w. Siapa tak tahu Perang Badar al-Kubro? Semua antara kita tahu, dan inilah peperangan dan perjuangan mati-matian dalam menegakkan Islam di atas muka bumi ini. Peperangan yg memisahkan antara Haq dan Batil, memisahkan antara Bapa dengan anak- semua ini dalam mempertahankan Islam di muka bumi ini.
  2. Peperangan Ain Jalut. Peperangan ini berlaku 2 tahun selepas kerajaan Abbassiah tumbang ke tangan Monggol pada 656 H. Panglima Islam ketika itu, Saifuddin Qutuz telah berjaya menghimpunkan dan mengembalikan semangat Jihad di kalangan Umat Islam ketika itu. Perjuangan ini berjaya mencapai kemenangan total ke atas puak Tartar/Monggol dan membuka semula Baghdad untuk kembali ke tangan pemerintahan Islam.
  3. Peperangan dalaman diri sendiri. Ketika ini, seperti mana kita sedia maklum para Syaitan telah diikat/dirantai semasa bulan Ramadhan. Yg tinggal hanyalah diri kita dengan nafsu. Peperangan depan-depan antara akal dan nafsu. Nabi s.a.w ada menyatakan bahawa inilah peperangan besar bagi diri kita selain Jihad di Medan Perang. Maka, tidak hairanlah ada di kalangan kita gagal sebelum ke medan sebenar!

Ketiga-tiga ini merupakan peristiwa dan situasi yg meletakkan bahawa Ramadhan adalah bulan Perjuangan. Tiada siapa yg boleh sangkal. Melihat Badar al-Kubro sahaja telah meletakkan persepsi kita setinggi yg boleh bahawa Ramadhan bukan semata bulan Rahmat dan Maghfirah, tetapi juga bulan Jihad dan Perjuangan hakiki buat kita.

Menukar paradigma biasa ke kacamata perjuangan bukanlah sesuatu yg mudah. Saya sendiri mengambil masa yg lama. Buktinya, pada tahun ini sahaja saya baru menyedarinya. Selama ini, mungki kita ‘terlalu‘ hanyut dengan fadhilat-fadhilat dan kelebihan Ramadhan sahaja, namun kita tidak melihat dari kaca mata lain pula. Kita MESTI melihat dari 360 darjah sudut pandang. Bukan 90 atau 180 darjah sahaja. Kita perlu mencorakkan cara pemikiran juang dalam diri kita.

Kerana apa? Kerana dari zaman berzaman, sejak dari 1 Hijrah, Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah putus-putus berjuang mempertahankan Islam serta mengembangnya ke setiap pelusuk Tanah Arab ketika itu. Bahkan Baginda s.a.w telah mencapai taraf antarabangsa dalam menyebarkan Islam yg Agong ini. Perjuangan dan semangat ini diteruskan oleh para sahabat Baginda s.a.w serta para tabi’in selepasnya. Adakah ini bermaksud mahu memberi gambaran bahawa Islam bergerak atas Mata Pedang semata-mata? Tidak! Dan hal inilah yg menghadirkan Islam datang dengan penjelasan ‘Juang’ yg sebenar;

“Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)

“Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata.” (Al-Baqarah: 208)

“Dan berJihadlah kamu di jalan Allah dengan Jihad yg sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu, dan Dia tidak menjadikan kesukaran untukmu dalam agama…” (Al-Hajj: 78)

Akhirnya, terletak kepada diri kita dalam memandang Jalan Juang yg kita fahami dan lalui kelak…

Mohd Nor Adzim bin Shaari
Pengerusi
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
Cawangan Negeri Sembilan

Jangan lepaskan ia…

Bila mulut sudah berbicara “Tidak mahu aku terlibat dengan program lagi..”. Bagi saya, ia adalah tanda para Da’i itu sudah dijangkiti suatu ‘virus’ yang cukup berbahaya. Itulah bibit-bibit futur. Maka, sudah pasti ia sangat berbahaya kepada insan yang bergelar Muslim.

“Aku tak mahu terlibat dah dengan program-program nie..”, apakah ia tanda yang baik?

Bahkan, lebih bahaya lagi bila diminta untuk menelefon para Murrobbi untuk program Tarbiah, ditangguh-tangguh olehnya. Bermacam alasan yang diberikan olehnya untuk mengelak diri dari program Tarbiah.

“Aku tak dapat no.telefon Naqib lagi la..”

“Erk, minggu nie aku dah penuh dengan program keluarga. Tak boleh nak kacau.”

“Eh, tak dak pon orang sana pesan aku untuk hubungi orang di sini…”

Maka, didikan Tarbiah terus terabai. Selepas itu, akan datang program-program lain yang mengisi kekosongan masa itu..bila dah tak dak program Tarbiah dalam masa lapang itu.  Masa di isi dengan melayan FB, keluar dengan kawan-kawan, main game, futsal, bola sepak, menonton televisyen dan pelbagai program lagi yg akan ‘bantunya utk diisi’. Ya, senarai di atas ada juga yang melibatkan dengan Tarbiah seperti Riadhah, namun sejauh mana nak dibandingkan Tarbiah Imani dan Ruhi dalam Liqo’ Mingguan dengan Riadhah Mingguan? Yang mungkin dalam Riadhah itu adalah 5-10 minit tazkirah yang disampaikan.

Mana pergi Mutabaah Amal? Mana pergi Taaruf ahli Liqo’? Mana pergi Muahasabah Diri? dan paling penting, mana pergi Ukhwah Islamiyyah Jam’iyyah yang kita yakini sebelum ini?

Adakah semua ini akan kita jumpa tanpa memikirkan untuk hadir ke Liqo’ Mingguan kita? Bagi saya, tidak!

Dalam liqo’ Mingguan, kita akan ada masa untuk Mutabaah Amal. Yakni, muhasabah amal kita dalam masa seminggu. Solah Jamaah kita, Tilawah kita, Hafazan kita, bacaan ilmiah kita, bahkan Dakwah Fardiah pun akan ditanya dalam liqo’ ini. Ditanya pula dengan teman-teman seLiqo’ kita. Maka disitu akan lahir pula Muhasabah Diri..sejauh mana kita melaksanakan amal-amal harian kita dengan teman-teman kita. Kadang-kadang minggu nie kita ‘hebat‘ sedikit daripada teman kita. Minggu lepas itu pula, kita terkebelakang pula. Maka, kita akan sentiasa diperingatkan untuk Muahasabah. Muhasabah agar kita sentiasa ingin menjadi yang terbaik buat diri kita. Dan ini hanya ada dalam Liqo’ Mingguan- bersama seorang Naqib dan teman-teman seLiqo’ tadi.

Bukankah insan itu bermaksup ‘Pelupa’? Maka, tidak hairanlah surah Al-Asr yang menfokuskan tentang Masa menjadi tema Para Pendakwah untuk tidak membuang masa, apatah lagi nak berlengah-lengah dalam perkara kebaikan. Fastabiqul Khoirat!

Adakah anda masih meyakini bahawa anda akan ‘berjaya‘ tanpa mengahadirkan diri ke Liqo’ Mingguan? Atau lebih tepat lagi adalah Usrah?! Adakah anda juga yakin pasti berjaya dengan tanpa Usrah, tanpa binaan asas maka kita boleh membina diri kita, mendidik diri kita, memperbaiki diri kita menjadi lebih baik, seterusnya ingin mendaulatkan Islam di tanah air sendiri? Seperti yang saya katakan tadi, Tidak!!

Maka, sampai bila kita masih menunggu untuk ditarbiah? sedangkan dalam akal fikiran kita sendiri bersetuju bahawa Tarbiah Diri itu Penting.

Tak kiralah anda tue berada di tingkat mana sekalipun, Presiden NGO, Pengerusi Persatuan, Pengarah Syarikat, Pelajar PHD, Pelajar Praktikal, Pelajar Sekolah ka, Guru-guru ka, Pensyarah kah dan lain-lain..bila anda sudah mula katakan ‘Tidak’ pada program-program Pembinaan Diri, maka ‘virus’ itu akan terus beronok-ronok dalam diri anda! Melekakan anda dengan hawa’ yang melalaikan, menjerumuskan anda ke lembah-lembah gelap tanpa cahaya.

Namun, jangan risau akhi..jangan risau ukhti…

Akan ada sentiasa tangan-tangan harapan yang cuba menggapai mu..maka, pautlah tangan itu. Jangan lepaskan ia, pegang erat-erat agar tidak terlepas…kecuali anda sendiri yang lepaskan tangan itu…

MOHD NOR ADZIM BIN SHAARI
Pengerusi
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
Cawangan Negeri Sembilan
adzim.shaari@gmail.com

Angkat Kerusi juga Tarbiah

Gambar Hiasan: Amalan mengangkat kerusi

“Biaq betul? Bukankah Tarbiah tue kena attend Usrah, baca buku sama-sama dan jugak tadabbur al-Quran bersama?”

Begitulah sebahagian besar antara penggerak-penggerak Dakwah kini kata. Tarbiah ditafsirkan pada lingkungan yang amat kecil, skop yang tidak meluas bahkan merendahkan taraf Tarbiah itu sehingga pemahaman Tarbiah itu begitu kecil di mata penggerak-penggerak Dakwah sekarang.

Kata mereka lagi, bila sudah diTarbiah lama, takut lomau pulak nanti. Jadi kita kena keluar pulak, buat ceramah ke, kita tinggalkan sebentar usrah-usrah nie. Satu lagi pemikiran dangkal sebilangan kecil kita. Tarbiah bukan begitu, bahkan lebih besar seperti yang anda sangka kan. Secara umum Tarbiah boleh dimaksudkan dengan perkataan pendidikan dalam Bahasa Melayu kita. Mendidik, sejak kecil lagi kita menyedari bahawa ia penting dalam membangun jati diri anak bangsa kita.

Apabila dikatakan tentang pendidikan, maka ia mencakupi semua hal bahkan hinggalah kita membuang sampah dengan sendirinya, menyusun kasut dengan rela hati tanpa suruh serta angkat kerusi jugak dianggap Tarbiah. Ya, juga Tarbiah. Saya berpeluang mengangkat kerusi ini sejak saya bersekolah lagi, sejak tingkatan satu lagi. Hurm, ya ketika itu sudah tentu para senior kami akan meminta tolong daripada kami yang junior ini untuk susun kerusi bagi perhimpunan mingguan di sekolah dulu. Tika itu juga ramai di kalangan kawan-kawan saya yang merungut tentang pem’bulia’an ini.

Gambar Hiasan: Kenangan lama ketika tingkatan satu yg kena angkat kerusi oleh para senior kami

“Adus, sikit-sikit form 1, tak boleh ke buat sendiri?”

Pada peringkat awal, saya pun rasa tak puas hati. Namun, apakan daya ketika itu kami ini ‘kecil’, iku saja arahannya. Setelah bertahun berlalu, saya amat mengucapkan terima kasih dengan amalan Angkat Kerusi ini. Sehingga kini saya masih mengangkat kerusi terutama selepas program tamat. Mengapa ya? Sebab utama kerana Allah melihat pada niat kita bukan kepada apa pekerjaan kita itu. Allah s.w.t tidak melihat besar atau kecil amalan kita, tapi Dia melihat hati kita buat kerana apa.

Mengangkat kerusi juga mengajar pelbagai elemen kerjasama dan kekuatan kita. Angkat kerusi sama-sama, susun semula dari bawah ke atas dan kesabaran dalam menyusun kerusi yang banyak terutama beribu-ribu kerusi perlu diangkat semula. Dan sebab itu saya katakan mengangkat kerusi juga adalah Tarbiah. Bahkan bukan sahaja angkat kerusi, termasuk juga perkara-perkara kebaikan lain. Imam as-Syahid Imam Hasan al-Banna pernah ditegah angkat kerusi selepas ceramah beliau oleh seorang sukarelawan Ikhwan Muslimin;

“Wahai Imam, tak perlu angkat kerusi tu. Biarkan saja, kami akan angkatnya nanti”

Apa jawab Imam as-Syahid Hasan al-Banna?

“Wahai saudara, aku mengangkat kerusi ini kerana aku pun tak tahu amal manakah yang akan diterima Allah nanti”

Nah, inilah Imam yang mulia, jawapan yang sepatutnya begitu menggerunkan buat kita. “Aku pun tak tahu amal manakah yang akan diterima Allah”. Nilai Tarbiah itu bukan diukur dengan pergi balik ke Usrah, bukan dinilai dengan berapa banyak kita khatam buku atau bukan dikira berapa kelap kali kita bangun solah Tahajjud. Namun ia dikira dari segi kualitinya. Kualitinya yang mampu menyumbang buat ummat. Menyumbang sambil memartabatkan semula kebanggaan ummat ini dengan Islam.

Akhirnya saudara saudari sekalian, merasakan akan kepentingan Tarbiah itu begitu penting agar kelangsungan amal dan kefahaman kita tentang Islam akan sentiasa meningkat. Islam sudah mengajar semuanya;

“Dan bertolong-tolonglah kamu dalam perkara-perkara kebaikan, dan jangan pula engkau bertolong-tolong dalam perkara mungkar” (Al-Maidah: 2)

Jangan merasa puas dengan apa yang anda sekarang. Rebutlah peluang-peluang Tarbiah yang ada, basuh pinggan di dapur juga adalah Tarbiah yang boleh dimulakan. Ingat, sejauh mana kita meluaskan kefahaman Tarbiah itu, maka seluas itu bantuan kita kepada agama ini.

WaAllahua’lam.

MOHD NOR ADZIM BIN SHAARI
Pemangku Pengerusi
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
Cawangan Negeri Sembilan