Roh perjuangan

Roh perjuangan

Lesu dan lemau umat Islam sekarang. Setelah 10 bulan berlalu Taufan al-Aqsa oleh para pejuang Palestin, satu negara Islam pun masih berdiam diri apatah lagi dunia lain yang kononnya terpaling bebas bersuara dan terpaling adil atas muka bumi ini, terus diam sejuta bahasa!

Bagi mereka, kebebasan bersuara dan kuatkuasa undang-undang hanya terpakai untuk perkara yang merugikan mereka, yang melemahkan mereka, yang menjatuhkan imej mereka di mata dunia- barulah mereka nak tegakkan.

Israhell masih berleluasa membantai serta menyembelih rakyat Palestin di Gaza dengan muka bergembira dan senyum keangkuhan. Melakukan pelbagai kejelikan moral terhadap rakyat Palestin yang umumnya di mata manusia normal akan menentang atau melawan perlakuan tersebut. Namun, kita hanya mampu diam. Paling tinggi iman pun, akan kongsi pada medium media sosial yang ada. Lebih dari itu? Negara la kan?

Roh atau semangat berjuang kita sekarang hanya berada di tahap jari jemari kita sahaja. “Cukuplah SHARE dekat FB aku,” getus sanubari kita. Jika dulu, berlaku ketidakadilan saja, terus berhimpun, berarak membawa sepanduk ke premis yang tidak adil itu sebagai simbolik memprotes ketidakadilan yang berlaku. Kini, rasa cukup dah duduk santai atas kerusi sambil SHARE ketidakadilan yang sedang berlaku sekarang!

Negara yang mempunyai peranan lebih besar pun hanya mengambil pendirian mengecil dalam menentang ketidakadilan itu. Jika dulu, sewaktu Khilafah Islam memerintah, jika ada seorang Muslimah dicerca, dihina atau dikata buruk, Khalifah ugut akan hantar tentera dari pintu sempadan negaranya sehinggalah ke pintu istana Khalifah. Kini, negara hanya keluarkan kenyatan 1-2 muka mengutuk perbuatan jijik serta tidak adil yang telah berlaku. Tentera negara Islam masih disimpan seperti pemain simpanan bola sepak yang makan gaji saja.

Dimanakah silapnya? Apa yang kita boleh sama-sama hisab sesama kita dalam hal ini?

‘BLIND SPOT’

Apa itu blind spot? Atau dalam Bahasa ibunda kita ialah titik buta. Selalu ayat ini akan terjumpa atau dengar bila nak ambil exam memandu serta buat pemandu kereta. Senang cito ialah kelemahan yang tak terlihat oleh kita, tapi orang sekeliling kita nampak.

Semua kerajaan atas dunia ini ada titik buta mereka. Dah jika kerajaan yang dipimpin manusia, yang mana semua tahu manusia itu tak sempurna, pasti ada lompang kekurangan pada kerajaan itu.

Adakah dengan wujudnya kelemahan itu bermakna kerajaan itu tak bagus? Tak semestinya jika kerajaan tersebut mampu terima teguran dan baiki segera kelemahan yang ada. Usaha jadi kerajaan terbaik itu tak rugi bila ada kekurangan yang orang nampak (spot on!) dan mereka perbaiki kelemahan itu. Contoh la kan, orang tegur kito ni gomok dan kuat makan, kito pun terima teguran tu dan perlahan-lahan buat senaman yang diperlukan di samping menjaga makan yang kita makan. Orang yang tegur tadi pun rasa “Wah baguslah die ni, aku tegur terus die usaha nak ubah.”

Di Malaysia, sejak kerajaan British (sebelum Merdeka), BN, PH dan terkini PN- semuanya tak terlepas dari kelemahan dan kekurangan.

Jika kita imbas sejarah kerajaan British lalu, rakyat ketika itu (khususnya orang Melayu) berdemostrasi secara aman bagi membantah penubuhan Malayan Union yang memudahkan penerimaan warga asing sebagai warganegara Tanah Melayu ketika itu. Ini ‘blind spot’ kerajaan British tika itu.

Zaman BN, yang bertahan lebih kurang 60 tahun, rakyat bukan sahaja berdemo malah menggunakan platform media sosial bagi menunjukkan bantahan terhadap kelemahan kerajaan pimpinan BN yang penuh dengan rasuah, salah guna kuasa, penipuan hingga tumbangnya mereka pada PRU14. Ini antara ‘blind spot’ BN.

Kemudian, zaman PH, berusia lebih kurang 22 bulan, rakyat (khususnya orang Melayu Islam) merasa terancam dengan berbagai tindakan yang lemah lembut pada LGBT, liberal, syiah serta mencabut satu persatu kelebihan orang asal iaitu bumputera dan melebihkan golongan minoriti dalam negara. Ini ‘blind spot’ PH.

Saat ini, PN yang menerajui negara pula seakan-akan nak kembali ke zaman BN dahulukala, mula menunjukkan ‘blind spot’ mereka. Jika tiada perubahan ke arah lebih baik, silap-silap jatuh lagi. Negara akan kembali tak stabil. Rakyat juga akan merana.

Adakah kerajaan nak terus abaikan ‘blind spot’ mereka? Di sinilah berbagai peranan perlu di ambil khusunya buat siapa yang jadi pembangkang. Pembangkang itu penting. Mereka akan jadi ‘check and balance’ (semak dan imbang) kepada kerajaan. Kita tak mahu lagi minda ‘kerajaan aku, kerajaan aku. Kerajaan kau, kerajaan kau.’ Ini merugikan negara. Sedangkan dua-dua pihak duduk dalam negara yang sama. Pembangkan kena rasa yang mereka juga sedang membina negara secara bersama dengan pihak kerajaan. Dalam isu kepentingan negara, ketepikan dahulu perbezaan parti dan pandangan dalam politik. Politik lah secara matang.

Kemudian, peranan penting juga telah dan sedang dimainkan NGO dalam Malaysia ini. Mereka juga antara semak dan imbang kepada kerajaan. NGO lebih neutral (kalo tak neutral, tak namo NGO. Jadi bayangan parti je). Keutamaan mereka adalah kepentingan rakyat serta negara lebih dari kepentingan diri sendiri. Pandangan mereka juga penting bagi memperbaiki kelemahan yang ada pada sesuatu kerajaan. Tapi, perlu di ingat, NGO juga ada berbagai aliran dan kerajaan perlu peka dalam memilih pandangan NGO yang selari dengan Perlembagaan Negara.

Akhir sekali, dalam semak dan imbang ini, sudah tentulah rakyat dalam negara ini. Mereka adalah ‘shareholders’ terbesar kepada negara yang perlu dijaga oleh kerajaan. Mana-mana kerajaan pun kena pergi hingga ke akar umbi untuk mendengar rintihan pemegang saham terbesar ini. Tidak boleh tunggu nak PRU atau PRK baru nak dengar. Namun, kita boleh nampak perubahan semasa ke semasa kerajaan dalam mengisi kekosongan ini. Kebanyakan kemeterian dan agensi kerajaan telah menggunakan berbagai platform komunikasi untuk sampai ke akar umbi rakyat. Rakyat perlu guna saluran ini dengan sebaiknya manakala kerajaan perlu respon dengan tindakan.

Kesimpulan akhir kita boleh dapat ialah setiap daripada kewujudan dalam dunia ini ada ‘blind spot’ mereka. Titik buta yang hanya mampu dilihat oleh orang sekeliling kita bukan bermakna kita lemah dan tidak berbuat apa-apa. Orang yang lihat kelemahan ini kena berperanan menegur dan mencadangkan pembaikan yang boleh dibuat. Orang yang ditegur atau kerajaan yang menerima kritikan ini, cubalah sedaya upaya untuk buat pembaikan. Biar kita mula berbuat baik dari kita terus terjerumus dengan kelemahan lalu menjatuhkan kita pada masa akan datang.

WaAllahu’alam.

“Orang kita LEBIH NAMPAK kelemahan dulu, berbanding kebaikan yang ada.”

KEPUASAN vs KEPERLUAN

Apabila kita berbicara tentang ekonomi, 2 perkara ini takkan terlepas dalam timbangan kita. Tak kiralah secara individu (mungkin bebas sikit sebab tak banyak tanggungjawab lagi), keluarga mahupun sebagai pimpinan.

Dalam ekonomi, apabila datangnya 2 pilihan kepada kita untuk dipilih, maka yang tidak dipilih itu akan jadi Kos Melepas. Contoh, anda ingin beli kereta Proton atau Honda. Jika anda pilih Honda, maka Proton tu akan jadi kos melepas (bukan lepaskan gas ye!). Maka, bila berlaku sesuatu untuk dibuat pilihan ini, maka 2 faktor ini akan menjadi pertimbangan anda iaitu KEPUASAN atau KEPERLUAN.

Kepuasan senang cito ialah sesuatu yang memberi anda puas. Contoh anda rasa makan KFC tu lebih puas serta sedap daripada makan ayam goreng kek kodai Odah, maka itu kepuasan. Tapi kalo tak dapat makan ayam KFC dan mampu makan ayam goreng kodai Odah je sebab itu yang murah itu yang mampu, itu keperluan untuk makan (makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan), maka itu keperluan.

Semua kita akan diberi pilihan. Tak kisahla dalam kehidupan harian mahupun masa depan yang akan datang. Anda yang BERHAK buat keputusan tersebut. Namun, nak buat keputusan, selain berniat kerana Allah dan agama-Nya, tengok juga dari sudut KEPERLUAN atau KEPUASAN anda. Jangan membuta tuli buat keputusan. Islam pun tak ajar kita macam tu.

Itu sebab kita hidup ini dengan orang, orang yang berbagai ragam dan corak pemikirannya. Jika kita hidup dengan komputer, senangla nak buat keputusan. Masuk je masalah apa dalam komputer, dah keluar penyelesaiannya. Tapi, manusia bukan begitu. Kita perlu berinteraksi, berdebat, berbincang agar sampailah kita tiba buat keputusan yang terbaik untuk diri kita dan yang bersama dalam kehidupan kita (isteri dan anak-anak atau mak ayah kita).

Jika kita nak maju ke depan tanpa peduli kesan ke atas kehidupan orang di sekeliling kita, pasti ada kesan negatif pada kehidupan kita. Jika tak banyak, pasti sedikit! Kesan tu akan jadi kos melepas kita tadi. Oleh itu, apa yang kita boleh buat bagi meniadakan kesan negatif tu atau mengurangkannya? Berbincanglah! Dalam Al-Quran sendiri ada saranan untuk bermesyuarat, berbincang bahkan berdebat dengan hikmah.

Tak salah nak pilih KEPUASAN dalam pilihan, tapi kena baca ke depan. Jangan baca sebelah mata dan jangka pendek je. Mungkin kita kena selesaikan dulu KEPERLUAN kita, baru kita pilih KEPUASAN tu. Contoh dalam hidup berkeluarga, anda keluarga baru dan kerja sebagai eksekutif. Tapi anda punya impian lain, katakan nak jadi speaker motivator hebat. Itu KEPUASAN anda bila anda capai impian tu. Namun, dalam keadaan semasa, isteri tak kerja dan punyai anak kecil yang perlu disara. Mereka perlukan anda dan kewangan anda sekarang. Jika anda tiba-tiba berhenti dan nak jadi speaker tu tadi, pasti mereka yang terkesan melainkan memang anda dah ada simpanan yang mencukupi (ada juga kadar simpanan perlu ada pada post semalam).

Jadinya, KEPERLUAN anda sekarang adalah menyara hidup mereka hinggalah ke satu tahap mereka dah selesa dan kewangan keluarga anda juga sudah stabil. Kemudian, bincanglah untuk capai KEPUASAN anda tadi. InshaAllah, mereka faham malah menyokongnya sepenuh hati apa yang anda buat.

Contoh lain jika kita kaitkan dengan ekonomi negara; antara kebajikan rakyat dan kemajuan ekonomi negara dalam situasi COVID-19 ni, mana yang patut PM pilih? Boleh je mana-mana PM sesuatu negara nak ekonomi maju dan takyah fikir la kebajikan mahupun keselamatan rakyat tika ini. Tapi, kesan nya akan besar pada negara! Katakanlah ada negara pilih agar ekonomi negara terus maju dalam situasi COVID-19 ni, maka PM pun umum naikkan cukai syarikat dan individu, wujudkan cukai baru, naikkan caj penalti pada kesalahan rakyat, bonus pekerja kurangkan, tiada lagi bantuan kepada rakyat B40, kerja seperti biasa dalam COVID-19 dan lain-lain caralah PM nak naikkan ekonomi tika ini. Kesannya, rakyat terdedah dengan COVID-19, penularan tak dapat dibendung, syarikat bukan saja tak berjalan bahkan akan lebih banyak ditutup, rakyat akan terbeban lagi dengan berbagai masalah.

Namun, tak berlakulah perkara di atas di negara kita, Malaysia. Sebab PM dan menteri-menterinya bersama buat keputusan untuk PILIH kebakjikan rakyat. Dibuatnya PKP, wujudkan norma penjarakkan sosial, diberinya bantuan wang mahupun rebet, ada lagi moratorium, diskaun pada perkhidmatan kerajaan serta swasta dan lain-lain lagi. Jadi, kemajuan ekonomi negara tu dah jadi kos melepas. Tapi, adakah kerajaan melupakannya? Tidak! Dibuka kembali sektor-sektor ekonomi dan sosial bertahap agar ekonomi tu berjalan seperti sedia kala. Pumping balik investment dalam negara, rancakkan perniagaan dengan berbagai kemudahan dan bantuan diberikan kepada mereka yang terlibat. Maka, ekonomi negara dijangka akan masuk fasa pemulihan hujung tahun ini dan bersama kita doa agar ekonomi negara pulih seawal tahun 2021. Amin.

Oleh itu, pilihan sentiasa tersedia kat kita. Kita nak pilih yang mana, itu memang HAK kita. Tapi, pastikan kita ada penunjuk jalan dalam buat keputusan. Tidak semestinya kita lepaskan KEPUASAN maka kita tak boleh capainya. Susun strategi dari sekarang dan bersabarlah dengan keputusan yang telah dibuat.

WaAllahu’alam.

Pertama adalah Iman

Iman adalah perkara Asas dalam kehidupan Mukmin (Gambar Hiasan)
Iman adalah perkara Asas dalam kehidupan Mukmin (Gambar Hiasan)

Mengapa Iman MESTI menjadi yang pertama? Mengapa ia tidak menjadi yang kedua? Adakah tanpa Iman, maka tiadanya Islam?

Iman bermaksud percaya atau menyakini sesuatu dengan benar melalui hati, lidah dan juga amalan. Ini sangat berharga dalam diri kita, terutama sebagai seorang Muslim. Dan sebab itulah mengapa Allah s.w.t mengarahkan kepada kita untuk masuk Islam dengan Iman;

“Wahai orang yang Beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turuti langkah-langkah Syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Al-Baqarah: 208)

Allah menyeru kepada ‘wahai orang yg beriman’, bukan kepada ‘wahai sekalian manusia’ atau ‘wahai sekalian muslimin’, tetapi ditekankan ‘Wahai Orang yg Beriman’! Kita melihat suasana sekarang yang rata-ratanya sekadar nama Islam atas nama semata, namun ‘Iman’ dalam diri entah ke mana. Ini adalah prestasi Iman yang paling lemah sekali! Maka tidak hairanlah semakin ramai di kalangan orang Islam sendiri tidak teguh pendirian mereka terhadap agama. Rapuh dan Lemah!

Syed Qutb dalam kitab terulungnya, Fi Zilalil Quran menyatakan bahawa Iman adalah Anugerah Teragung daripada Allah kepada hamba-Nya. Tidak dapat dinafikan kenyataan ini apabila kita kembali mengenang peritstiwa keimanan para sahabat r.anhum yang memperoleh hidayah daripada-Nya, kemudian bertarung dan bertahan keimanan mereka daripada diceroboh oleh kaum Kafir Quraisy.

Maka, saranan buat kita yang mengaku sebagai Orang-orang yang Beriman;

1. Sentiasa perbaharui Iman dan Niat kita. Ingat matlamat utama kita diciptakan;

“Tidak Aku ciptakan Jin dan Manusia itu melainkan beribadah kepada-Ku” (Adz-Zaariyat: 56)

2. Tadabbur ayat-ayat Al-Quran yang berkait terus dengan ‘Wahai orang-orang Beriman’. Ayat ini selalunya adalah ciri-ciri yang Allah mahukan daripada seseorang yang mengaku beriman.

3. Genggam dan Istiqomahlah.  Bila kita sudah rasakan Iman di dada, pegang ia dengan utuh, kemudian istiqomah dengan amalan-amalan yang meningkatkan Iman kita.

Allahua’lam.

Mohd Nor Adzim Shaari
Aktivis ISMA Seremban

 

Ramadhan buat Da’i

Ahlan ya Ramadhan!

Tinggal lebih kurang 10 hari lagi Ramadhan kan menjelma.

Bulan yang paling Mulia dihadiahkan buat kita daripada-Nya. Namun, sebagai seorang yang mengaku seorang Da’i adakah kita sudah bersedia menempuhnya? Atau kita masih menganggap diri kita seperti rakyat marhean yang menyambutnya dengan biasa-biasa, dan menanti-nantikan ketibaan Hari Ghayo?

Seharusnya, seorang Da’i itu teruja dengan kehadiran Ramadhan ini dengan pelbagai persiapan yang dibuat bagi menempuhnya. Oleh itu, saya kongsikan beberapa perkara penting buat Da’i dalam mempersiapkan diri dengan kedatangan Ramadhan yang telah di sampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Mohd Azizee Hassan kepada Du’at di luar sana:

  1. Tingkatkan ketaqwaan. Dalam natijah akhir pada ayat kewajipan berpuasa buat kita ialah saranan untuk kita agar bertaqwa kepada Allah. Kenapa? Dengan Taqwa yang tinggi akan membentuk pandangan para Da’i itu jelas melihat yang mana Haq dan mana yang Batil.
  2. Bulan latihan bagi sikap Sabar. Apabila digelar sebagai Da’i, sudah pasti terdedah dengan pelbagai mehnah tribulasi buat sang Da’i. Begitu juga dalam Ramadhan, dengan larangan Allah terhadap hamba-Nya untuk tidak makan di siang hari, ini merupakan latihan buat Da’i dalam mentaati Allah serta sabar dalam meninggalkan larangan Allah. Jika tiada sikap sabar ini dalam diri Da’i, SELAMANYA kemenangan yang dicari itu tidak akan tiba!
  3. Bulan Jihad dan Perjuangan. Mengenang kembali peristiwa besar dalam Ramadhan yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.anhum, sudah tentu terbayang dalam pemikiran kita akan kemenangan Badar serta pembukaan Makkah ketika itu. Namun, sebelum kemenangan itu tercapai, Jihad yang telah ditempuh oleh mereka sudah tentu jihad melawan hawa’ nafsu yang sangat hampir dalam diri kita. Jadi, kemenangan yang ingin digapai oleh para Da’i itu mestilah bermula dengan kemenangan kecil pada diri kita – lawan Hawa’ Nafsu.
  4. Bina intima’ Jama’i. Ramadhan adalah bulan di mana semua umat Islam berpuasa, menunaikan ibadah secara bersama-sama dan amat penting buat Da’i memposisikan diri dalam kebersamaan melaksanakan ibadah ini dengan Jamaah yang disertai. Sekiranya perkara ini diabaikan oleh seseorang Da’i itu maka akan berlaku ketidakstabilan dalam organisasi itu.

Dengan mempersiakan mental berasaskan 4 perkara di atas, para Da’i akan terus mara walaupun dalam bulan Ramadhan. Kita semua perlu sedar bahawa kedatangan Ramadhan bukanlah untuk ditangisi bahkan untuk disambut dengan kegembiraan. Ketika inilah Allah menunjukkan sifat Maha Pemurah-Nya buat kita secara besar-besaran. Bayangkan setiap amal yang dilaksanakan dalam bulan ini, Allah melipat kali gandakan ganjaran-Nya kepada kita.

Jadi, adakah kita mahu menjadi Da’i yang tersungkur awal di ambang Ramadhan?

Allahua’lam

Mohd Nor Adzim Shaari
Aktivis ISMA Seremban

 

Adakah kita ‘kenal’ erti Zuhud?

Adakah kita kenal apa itu ZUHUD?
Adakah kita kenal apa itu ZUHUD?

Dalam zaman moden ini, banyak berlaku kepincangan ilmu di kalangan umat Islam lebih-lebih lagi ilmu Agama. Ada di antara kita merasakan cukup sekadar mengetahui surface sesetangah istilah, kemudian digunakan atas kefahaman dirinya sendiri tanpa merujuk para Ulama’ yang thiqah serta kitab-kitab Muktabar. Sekiranya dia merasakan istilah itu tidak ‘kena’ dengan maksud yang sesuai dengan dirinya, maka dia akan tolak.

Antara istilah yang sering di salah tafsir ialah Zuhud. Kebanyakan manusia memahami Zuhud dengan meninggalkan dunia – totally! Dalam kitab Talbis Iblis (Dasyatnya Tipu Daya Iblis) menegaskan bahawa erti Zuhud bukan semata-mata kita menolak atau mencela dunia itu, atau meninggalkan tempat tinggal lalu pergi ke gunung untuk beribadah di sana dengan meninggalkan solat berjamaah atau juga solat Jumaat, atau meninggalkan ibunya yang amat memerlukan bantuan anaknya dalam menguruskan kehidupan hariannya – bukan itu maksudnya!

Hakikatnya, Ibnu Qayyim menegaskan bahawa Zuhud yang dicela ialah mengambil sebahagian dari dunia yang tidak dihalalkan, atau mengambilnya secara berlebih-lebihan, tidak menurut kadar keperluan serta tidak menurut hukum syarak.

Antara gambaran muslihat Iblis terhadap para Zuhud ialah:

  1. Enggan mendalami ilmu kerana sibuk dalam urusan Zuhud. Mereka merasakan zuhud tidak perlu ilmu yang mendalam untuk mempraktikkannya atau cukup dengan amalan zuhud tanpa ilmu akan menyelamatkannya. Meraka menganggap telah menggantikan sesuatu yang kurang baik (mendalami ilmu) dengan sesuatu yang lebih baik (zuhud). Padahal manfaat orang yang berilmu itu boleh disebarkan merata-rata. Berapa banyak pula orang yang berilmu mampu menuntun ahli ibadah kepada kebenaran?
  2. Mereka beranggapan bahawa yang disebut zuhud itu ialah meninggalkan perkara-perkara Mubah. Contohnya, seperti tidak mahu berpakaian cantik sedangkan dirinya mampu berbuat demikian, apatah lagi Baginda s.a.w cukup menyukainya. Ada juga yang hanya makan sedikit sangat sehingga menyebabkan tubuh badan kering kontang seperti mayat bernyawa! Baginda s.aw akan makan jika ada makanan, dan menahan lapar sekiranya tiada makanan.
  3. Mereka beranggapan juga bahawa zuhud adalah rasa puas dalam masalah makanan dan berpakaian semata. Namun, dalam masa yang sama mereka tidak mengawal nafsu mereka untuk berlumba-lumba mengejar jawatan besar atau kemasyhuran di hadapan masyarakat. Maka, mereka berpura-pura zuhud dengan menunjukkan rasa hormat terhadap penguasa atau orang kaya, namun orang yang miskin langsung tidak diendahkannya. Adakah ini Zuhud yang mereka pegang?

Ingat! Tubuh kita ini adalah kenderaan di atas dunia. Wajib dijaga, bahkan wajib menunaikan haknya. Seperti kereta kita, jika tidak dijaga maka akan cepat rosak dan sangkut di tengah jalan serta menyusahkan kita dalam memandunya. Zuhud bukanlah amalan untuk menyusahkan kita dalam mentaati Allah, bahkan maksud sebenar Zuhud untuk kita bersederhana dalam menaati-Nya.

Sekiranya anda ingin menjadi seorang yang Zuhud, belajar dan fahamilah ertinya, seperti mana yang telah ditegaskan oleh Ibnu Qayyim dalam kitabnya ini. Zuhud bukanlah kita menolak dunia seluruhnya secara mentah-mentah, apatah lagi mengambilnya melampau-lampau, namun dunia ini perlu diambil sekadarnya agar matlamat akhirat tidak dihalang olehnya.

Allahu’alam.

 

Rujukan:

1. Talbis Iblis : Dasyatnya Tipu Muslihat Iblis – Ibnul Qayyim Al-Jauzi.

Mohd Nor Adzim Shaari
Aktivis ISMA Seremban

Atas ‘Jalan’ Ini…

Simpulan Kasih, Simpulan Dakwah
Simpulan Kasih, Simpulan Dakwah

Allahuakbar! wa Alhamdulillah!

Segala syukur hanya layak untuk-Nya. Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah semata-mata. Selawat dan Salam atas junjungan kita yang mulia, Nabi Muhammad s.a.w, ikutan kita sepanjang zaman malah tidak akan terluput keperibadian Baginda dalam kehidupan seharian kita.

Hari ini 17 April, saat kami menanti kelahiran sulung kami di Hospital Islam Az-Zahrah (HIAZ). Saya membelek seketika gambar-gambar awal pernikahan kami yang hampir mencecah 2 tahun. Sekadar ingin mengingatkan semula buat diri ini dan isteri akan tujuan ASAL pernikahan kami.

Kami ditakdirkan TIDAK berkenalan sebelum bertunang. Saya sendiri ketika itu terasa inilah cara terbaik buat diri saya dalam melahirkan keluarga idaman yang akan thabat atas ‘jalan’ ini. Saya HANYA berpandukan ‘orang tengah’ dalam menguruskan urusan besar ini. Kebiasaan daripada masyarakat kita, menjadi kemestian untuk pasangan berkenal-kenalan atau kenal bagi lahir cinta terhadap pasangan masing-masing.

Namun tidak bagi saya. Saya meyakini bahawa tujuan asal pernikahan ini adalah BESAR, tidak tergambar dengan sekadar lafaz ‘Aku Cinta Padamu’ serta diselangi dengan pertemuan-pertemuan ‘sweet’ ini. Tidak lain ialah kami mendirikan rumah tangga ini atas tujuan Dakwah kepada Ummah. Menjadi keutamaan kami untuk membina Keluarga Muslim ini.

Bagaimana tujuan ini terhasil? Sudah tentu atas fikrah Islam yang terpahat dalam diri kami. Bermula daripada diri kami, Individu Muslim, maka kami realisasikan maratib amal seterusnya iaitu Baitul Muslim (BM). Ia bukan sekadar dua hati disatukan, namun satu fikrah yang sama dihubungkan atas ‘jalan’ ini untuk terus berjuang demi agama.

Kini, tujuan asal ini perlu diutuhkan dan terus dipasakkan dalam hati-hati kami agar tujuan ini tidak dikaburi dengan tujuan dunia yang penuh tipu daya serta ujian daripada-Nya. Sesungguhnya saya dan isteri masih jauh perjalanan jika hendak dibandingkan dengan mereka yang sudah melayari bahtera keluarga dakwah bertahun-tahun.

Kami masih merasakan langkah kami masih kecil atas ‘jalan’ ini lantaran usaha Dakwah yang belum dipecutkan ke tahap maksimum. Menjadi satu AZAM buat kami untuk memecutnya kerana Ummah memerlukan kami. Masih panjang dan penuh onak duri yang akan kami hadapi di masa hadapan kelak. Saya yakin bahawa inilah jalan-jalan yang kami akan terus hadapi sehingga kami ditakdirkan berjumpa dengan-Nya.

Saat menantikan kelahiran cahaya mata yang pertama buat saya dan isteri, saya sedar bahawa kepentingan buat para pasangan Dakwah untuk melihat semula tujuan asal pernikahan semasa lafaz sakinah itu dilafazkan. Adakah kita masih berada di atas tujuan UTAMA yang kita janjikan kepada pasangan kita? Atau ia semakin pudar?

Dan, saya menikahnya kerana ‘Jalan’ ini…

 

Mohd Nor Adzim Shaari
17 April 2014

Jaulah Tarbiah- ke Utara lagi

Alhamdulillah. Masih diberi nyawa oleh-Nya untuk terus hidup.

28 Jun 2013, bermula satu lagi Jaulah (kembara) Tarbiah ke utara. Kali ini bersama para pemuda harapan negara dari Nilai. Rata-ratanya berumur 19-25 tahun. Objektif utama kali ini ialah memperkuatkan ukhwah sesama ahli serta mentadabbur alam ciptaan-Nya dan mengutip pengalaman Tarbiah daripada tok syeikh-tok syeikh yg sudah lama berjuang dalam medan ini.

Kami bertolak dalam pukul 11.15 malam dari Nilai. Dua(2) buah kereta telah dipenuhi oleh para pemuda ini- Alza dan Unser. SubhanaAllah, salah sebuah kereta yg dinaiki diberi pinjam tanpa syarat untuk dimanfaatkan sepanjang jaulah kali ini. Namun, budaya kita sebagai umat Islam, sangatlah dituntut untuk menjaga hak barang yg dipinjamkan kepada kita. ‘Ya Allah, engkau berkatilah kenderaan ini dalam kami mengagungkan-Mu.’

Sepanjang perjalanan itu, pelbagai perkara dibincang oleh para pemuda ini. Ada satu perkongsian menarik daripada Riduan Muhammad, seorang graduan di salah sebuah universiti di Amerika Syarikat (AS) menceritakan pengalaman beliau untuk mendapatkan & membuat tarbiah buat dirinya serta orang lain di sana. Katanya;

“Saya nak pergi ke Usrah selalunya ambil masa 9 jam untuk jumpa murobbi (pendidik) saya!Alhamdulillah, teknologi juga serba sedikit meringankan jurang ini. Jika bawak usrah pulak, ambil masa 4 jam nak sampai ke destinasi Mutarobbi saya tu” cerita beliau penuh semangat. Dan, beliau tidak pula memberi alasan jauh dan lama itu sebagai penghalang buat dirinya untuk beliau tidak ke usrah. Kita? Tanya Iman kita, dan renungilah sejenak.

Subuh hening di R&R Gurun telah menjadi saksi kami tiba di wilayah utara. SubhanaAllah! Ramai yg berhenti Solah Subuh berjamaah di sana. Sehinggakan melimpah ruah dari surau yg disediakan di R&R tersebut. Ini satu petanda yg baik. Dari kita melihat setiap manusia pada sudut negatif, eloklah kita pandang pada sudut positif pula. Kan ini juga baik?

Sinar cahaya di Kedah
Sinar cahaya di Kedah

Usai menunaikan Subuh, kami berehat sebentar. Recharge energy sat.. 7.00 pagi kami menyambung perjalanan kami ke Perlis- destinasi pertama yg dituju buat jaulah kali ini. Moga firman Allah s.w.t ini dapat dipenuhi kami sepanjang perjalanan ini;

“Katakanlah (Muhammad),’Berjalanlah atas muka bumi ini, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yg mendustakan itu.” (Al-An’am: 11)

Dan kami tiba di Alor Setaq…juga

Geng Jaulah 2013.
Geng Jaulah 2013

Adzim Shaari
29 Jun 2013, Pejabat ISMA Perlis

Ramadhan bulan Perjuangan

Salam Ramadhan dan Salam Juang kepada semua.

Kini, kita tiba pada malam-malam akhir Ramadhan bagi 1433 Hijrah. Berbagai usaha dan amalan yg telah kita mulakan dan giatkan sepanjang 24 hari pada bulan ini. Kadang-kadang konsisten dan kadang-kadang tersangkut. Namun, apa yg penting bagi kita semua ialah semangat juang untuk meneruskan malam-malam baki Ramadhan tahun ini dengan Jaya dapat diteruskan momentumnya.

Ramadhan adalah bulan perjuangan, bukan hanya bulan pembersihan diri semata-mata. Bahkan saudara sekalian, usaha-usaha untuk membersihkan hati juga memerlukan semangat juang dalam menjayakannya. Ia bukan Mudah!

Mengapa Ramadhan adalah bulan Perjuangan?

  1. Kemenangan pertama Umat Islam dalam sejarah Dunia, sewaktu keRasulan Nabi Muhammad s.a.w. Siapa tak tahu Perang Badar al-Kubro? Semua antara kita tahu, dan inilah peperangan dan perjuangan mati-matian dalam menegakkan Islam di atas muka bumi ini. Peperangan yg memisahkan antara Haq dan Batil, memisahkan antara Bapa dengan anak- semua ini dalam mempertahankan Islam di muka bumi ini.
  2. Peperangan Ain Jalut. Peperangan ini berlaku 2 tahun selepas kerajaan Abbassiah tumbang ke tangan Monggol pada 656 H. Panglima Islam ketika itu, Saifuddin Qutuz telah berjaya menghimpunkan dan mengembalikan semangat Jihad di kalangan Umat Islam ketika itu. Perjuangan ini berjaya mencapai kemenangan total ke atas puak Tartar/Monggol dan membuka semula Baghdad untuk kembali ke tangan pemerintahan Islam.
  3. Peperangan dalaman diri sendiri. Ketika ini, seperti mana kita sedia maklum para Syaitan telah diikat/dirantai semasa bulan Ramadhan. Yg tinggal hanyalah diri kita dengan nafsu. Peperangan depan-depan antara akal dan nafsu. Nabi s.a.w ada menyatakan bahawa inilah peperangan besar bagi diri kita selain Jihad di Medan Perang. Maka, tidak hairanlah ada di kalangan kita gagal sebelum ke medan sebenar!

Ketiga-tiga ini merupakan peristiwa dan situasi yg meletakkan bahawa Ramadhan adalah bulan Perjuangan. Tiada siapa yg boleh sangkal. Melihat Badar al-Kubro sahaja telah meletakkan persepsi kita setinggi yg boleh bahawa Ramadhan bukan semata bulan Rahmat dan Maghfirah, tetapi juga bulan Jihad dan Perjuangan hakiki buat kita.

Menukar paradigma biasa ke kacamata perjuangan bukanlah sesuatu yg mudah. Saya sendiri mengambil masa yg lama. Buktinya, pada tahun ini sahaja saya baru menyedarinya. Selama ini, mungki kita ‘terlalu‘ hanyut dengan fadhilat-fadhilat dan kelebihan Ramadhan sahaja, namun kita tidak melihat dari kaca mata lain pula. Kita MESTI melihat dari 360 darjah sudut pandang. Bukan 90 atau 180 darjah sahaja. Kita perlu mencorakkan cara pemikiran juang dalam diri kita.

Kerana apa? Kerana dari zaman berzaman, sejak dari 1 Hijrah, Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah putus-putus berjuang mempertahankan Islam serta mengembangnya ke setiap pelusuk Tanah Arab ketika itu. Bahkan Baginda s.a.w telah mencapai taraf antarabangsa dalam menyebarkan Islam yg Agong ini. Perjuangan dan semangat ini diteruskan oleh para sahabat Baginda s.a.w serta para tabi’in selepasnya. Adakah ini bermaksud mahu memberi gambaran bahawa Islam bergerak atas Mata Pedang semata-mata? Tidak! Dan hal inilah yg menghadirkan Islam datang dengan penjelasan ‘Juang’ yg sebenar;

“Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)

“Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata.” (Al-Baqarah: 208)

“Dan berJihadlah kamu di jalan Allah dengan Jihad yg sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu, dan Dia tidak menjadikan kesukaran untukmu dalam agama…” (Al-Hajj: 78)

Akhirnya, terletak kepada diri kita dalam memandang Jalan Juang yg kita fahami dan lalui kelak…

Mohd Nor Adzim bin Shaari
Pengerusi
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
Cawangan Negeri Sembilan

Kembara Utara’12- Belajar untuk Terbaik!

akhi Azril, Aizat (PEMBINA UIAM), Muslim Abdullah Zaik (PEMBINA UIAM), aku bergambar sebelum bertolak.

Alhamdulillah, sampai juga aku di bumi Utara Malaysia- Kedah & Pulau Pinang.

Tujuan ke sana tidak lain dan tidak bukan untuk mengutip pengalaman amal Dakwah rakan-rakan di sana serta bertemu Qudama‘ Dakwah yg komited dalam urusan besar ini.

Aku, akhi Azril dan akhi Uzair berpeluang bertemu dengan ikhwah akhawat dari PEMBINA Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Satu kekaguman kepada mereka (Azril & Uzair) ialah sikap tidak kenal lelah dalam menyampaikan amanat Presiden PEMBINA serta membantu PEMBINA cawangan lain dalam memacu amal Dakwah belia di Utara. Kesungguhan mereka menjelaskan hala tuju, matlamat dan stand PEMBINA sebagai satu NGO Belia Islam yg utuh tidak pernah padam dalam diari minda mereka. Allahu Akbar!

Akhi Azril dan Uzair, tak lelah!

Belajar untuk Terbaik! adalah satu motto dalam perjalanan ini dalam mindaku. Sebagai seorang Muslim, juga Da’i Muda, pengalaman dalam perjalanan bersama dengan para Da’i senior sangat diperlukan dalam mengharungi Jalan Dakwah yg penuh liku-liku dan pusing-pusing sepanjang perjalanan. Barangsiapa yg tidak mengambil perhatian, maka boleh jadi dia akan terjerumus ke jalan yg lebih bahaya.

Dan, itulah yg sedang berlaku atas bumi Malaysia ini. Para Da’i bercakaran antara satu sama lain, tiada persepakatan dalam perkara asasi agama, menuduh sana sini, perpaduan semakin goyah! Masing-masing mahu memenangkan ideologi sendiri. Maka, puak-puak Liberal, Sosialis, Hak Asasi Manusia menyerang kita dari segenap arah. Mengambil peluang kelemahan kesatuan kita ini.

Aku terkenang kembali kata-kata Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman dalam Seminar Kewangan & Keusahawan Muslim (SKKM’12) yg lalu;

“Tak kisahlah PEMBINA ka, ISMA ka, IKRAM ka, ABIM ka, PAS ka, atau UMNO sekalipun..semuanya sama Matlamat- menuju Syurga Allah. Jalan atau Method sahaja yg berbeza,” ujar beliau.

Nah, tak bolehkah kita jadi yg Terbaik?! Sudah tentu boleh, asalkan jalan yg kita tempuhi adalah tidak bercanggah dengan syara’, tidak terkeluar dari panduan Al-Quran dan Al-Sunnah. Menjadi terbaik adalah sifat orang-orang Mukmin itu sendiri.

Anda terbaik?

“Kamu (umat Islam) adalah umat Terbaik yg dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yg makruf dan mencegah dari yg mungkar, dan beriman kepada Allah…” (Ali Imran;110).

Belia itu sendiri perlu tenangkan diri, semangat..semangat juga, tapi biarlah bertempat. Menjadi Terbaik tidak semestinya ada semangat sahaja, bahkan perlu ada ilmu dan kekuatan Ruhi yg utuh. Menenangkan emosi itu dengan amalan Ruhi juga penting. Bagi peluang minda kita berada dalam Rasional semula. Berfikir dengan tepat, berpandukan Al-Quran dan Al-Sunnah.

Ruang para belia Muslim untuk menyumbang kepada agama ini sangat luas, seluas-luasnya. Tidak hanya fokus pada sesuatu lapangan sahaja. Selagi mana ia tidak terkeluar dari landasan syara’, maka perjuangkanlah ia. Anda pandai menulis, tulislah tulisan Islami. Anda pandai menyanyi, senandungkan Nasyid dalam suaru mu. Anda pandai bersajak, penuhilah sajak itu dengan nasihat. Semua kita berperanan, tidak perlu menjatuhkan satu sama lain, bahkan ia merugikan antara kita nanti.

Aku yakin Islam kan menang nanti!

Mohd Nor Adzim Bin Shaari
@Nilai (11 Mei 2012)